Tik..tok..tik..tok…

Jam berdetik, seperti tak pernah puas bergerak.

Sedar tak sedar hari ni dan masuk 22 Ramadhan. Cepatnya masa berlalu. Kalau ikutkan rasa ni, macam baru seminggu Ramadhan. Rupa-rupanya dah tak lama Ramadhan nak pergi. Uhuk, sedihnya. Sedih sebab terasa belum lagi rebut peluang yang ada sebaik mungkin. Juzuk Al-Quran banyak lagi yang tak habis, solat sunnat pun ada yang ter’miss, amal jariah belum banyak lagi. Cemburunya pada orang yang diberi kesempatan yang penuh untuk beribadat dan beramal. Yang sentiasa di masjid, beriktikaf, bersedekah apa yang ada, menghabiskan hari-hari penuh dengan tadarus. MasyaAllah.

Tapi bila difikirkan, siapa yang terkecuali dari diberi peluang untuk dapatkan keberkatan Ramadhan? Rasanya semua orang berpeluang. Peluang yang sama. Kalau tak mampu ke masjid, di rumahpun boleh, pahalanya sama. Kalau tidak punyai rezeki yang banyak untuk bersedekah, cukuplah dengan sebiji kurma. Kalau tidak cukup masa untuk bertadarus, beramal dengan al-Quran biarpun sedikit, itu lebih baik dari membaca tanpa amal. Subhanallah. Rupanya nikmat Allah itu cukup luas ya. Dia beri semua untuk hambanya. Tiada siapa terkecuali. Sekarang tinggal kita je untuk persembahkan amal.

Hmm...

Dihitung-hitung, tinggal lebih kurang seminggu saja lagi. Sisa-sisa hari yang tinggal rasanya nak manfaatkan sepenuhnya. Hari-hari adalah bermakna. Yelah, tahun ini adalah tahun yang sangat seronok sebab dapat berpuasa penuh di kampung setelah masuk 6 tahun sejak bergelar sebagai seorang pelajar. 6 tahun lalu, berbuka dengan juadah yang dibeli di kafe atau di bazar, atau berbuka bersama-sama di masjid. Bermanfaat juga juga lama-lama ni rupanya. 2 bulan berlalu, cukup rasanya mengajar diri menjadi suri rumah sepenuh masa. Setiap 2 atau 3 hari sekali kena pergi pasar, atau ke kedai beli barang dapur, setiap hari juga kena fikirkan menu apa yang nak di masak. Rutin yang agak seronok sebenarnya. Dan yang paling seronok saat berbuka. Tak pernah lagi puasa kali ini berbuka sorang-sorang melainkan dengan hilai tawa bersama adik beradik dan anak saudara yang penuh karenah. Inilah masa yang beharga. Berkumpul bersama. Menghayati saat-saat yang jarang dilalui sejak 6 tahun lalu. Seronok.

...alhamdulillah, masih diberi peluang melalui saat-saat itu... :)

Betul la orang kata bahawa setiap hari adalah hari beharga. Ianya beharga bila kita meletakkan harga padanya. Menghabiskan dengan sesuatu yang memberi imbuhan pasti akan ada nilainya. Namun, jika dibiarkan hari-hari berlalu tanpa dimanfaatkan, ianya kosong, dan menjadi tak beerti. Kerana itu jadilah kita orang yang rugi. Nauzubillah.

As-Syahid Imam hassan Al-Banna juga ada meletakkan satu tanda aras bagi menjadi muslim sejati dalam 10 muwasoffat muslim. Harithun Ala Waktihi. Berdisiplin dengan masa. Masa itu lebih beharga daripada emas, dan pepatah Arab ada menyebut, masa itu ibarat pedang. Boleh menghancurkan diri jika tidak menjaganya. Kerana itu betapa pentingnya mengurus masa dan merancang yang terbaik setiap hari. Agar tidak disibukkan dengan perkara yang melalaikan diri.

"Demi masa.." Al-Asr:1

Berdebar-debar.

Gelas ditangan terasa bergetar.
Manisan itu terasa pahit,
Senyuman mereka tawar.

Buat itu, salah...
Buat ini, pun salah...

Luka di jari tidak terasa sakit..
fikiran menerawang, terbang jauh...

Panggilan mereka tidak tersahut...
Bebelan juga terasa biasa...
Tiada bekas tertinggal di hati.

Semalam telah ku rancang yang terbaik,
bagai ingin membina mahligai kaca,

Hari ini, tawar dan hambar...
Kelam dalam lesu...

Tiba-tiba sebak menyapa..
Memaksa kelopak menjatuhkan air mata.

Mungkinkah?
Andai ini jawapan istikharahku...

..ku redha.

La haula wala kuwwata Illah billa hi azimm.

Seorang hamba kepada seorang tuan yang kaya raya, yang miliki kemewahan dunia, sangat patuh pada perintah. Pantang tuannya mengarah, lantas dia bangun biar bagaimanapun situasinya ketika itu. Hambanya itu akur, dan tidak membantah, kerana dia sedar, dia cuma hamba yang dibayar gaji oleh tuannya. Jadi tugasnya adalah berkhidmat untuk tuannya. Patuh segala arahan, tunduk pada segala larangan. Jika sebelum masuk bekerja sebagai hamba, dia sedar bahawa dia harus tahu apa yang boleh dia lakukan, dan apa yang tidak boleh dia lakukan. Dia harus sedar akan itu. Dan dia harus berhati-hati.

Saat itu ketaatannya harus berpusat pada tuannya sahaja. Apapun yang diminta oleh tuannya, dia berazam untuk penuhi. Biarpun kadangkala, tanpa minta dari tuannya, dia sudah sediakan. Dengan harapan, biar sayang tuannya tertumpah juga buatnya yang memberi khidmat terbaik. Jika tidak lakukan kerja yang diminta, habuannya kelak pasti tidak akan diperolehi malah murka tuannya yang akan dia dapat.

Itu kisah seorang hamba..

Bagai mana pula dengan kita?

Kita bukan hamba?

Hakikatnya, kitalah seorang hamba yang sebenar-benarnya hamba.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku”. (Az-Zariyat: 56)

Siapa yang tidak mengaku sebagai hamba Allah? Kalau ditanya muslim yang ada, semuanya mengaku diri sebagai hamba-Nya.

Tapi dalam pengakuan itu, berapa ramai yang berusaha menjadi hamba yang sebenar-benarnya hamba? Mempunyai rasa patuh kepada perintah Allah? Lihat sahaja isu biasa dikontroversikan. Bilamana Allah menyuruh muslim menjaga solat dan menutup aurat, macam-macam alasan yang ada. Sehingga macam-macam ’defence mechanism’ yang keluar.

"ala, yang pakai tudung tu pun bukannya baik pun”

"yang solat tu pun, buat dosa jugak”

Soal baik atau tak, itu nombor dua..yang utama, kepatuhan kita.

Kalau la kita seorang hamba kepada manusia, ketidakpatuhan kita pada suruhan tuan, akan membuatkan kita rugi. Tiada upah, tiada gaji. Tapi kenapa kita tak terasa pun rugi bila kita tak patuhi suruhan Allah, Tuan sekelian alam? Mungkin sebab kita tak terasa pun bahawa kita ni hamba, kan? Sebabnya, kita buat atau tak suruhan Allah, Allah tetap memberi. Celik sahaja mata di awal pagi, kita masih berpeluang menghirup udara segar, merasa bahagia dengan keluarga, sedangkan hari itu kita bangun tanpa dimulakan dengan solat subuh, dan menghabiskan hari-hari tanpa menutup aurat.

Tapi Allah itu sungguh penyayang. Biarpun hamba-Nya berkali-kali ingkar, tetapi diberinya nikmat yang tidak pernah putus-putus. Namun, jika kita ditimpa musibah atas kelalaian sendiri, pandai pula kita berteleku memohon ampun pada ’tuan’ kita, berdoa supaya idak terus diputuskan nikmat. Kerana sayang-Nya terlalu luas, siapapun kita, sebesar manapun dosa kita, akhirnya diterima taubat dan pengampunan tanpa syarat. MasyaAllah.

...dan cinta-Nya juga tanpa syarat.

Jika manusia yang menjadi tuan, setiap arahan dan suruhan kepada hambanya, pasti akan memulangkan imbuhan kepada dirinya. Jika hambanya tidak menjalankan tugas, hidupnya akan tidak terurus. Rumah tidak terjaga. Ternakan tidak berhasil. Hasil tanaman tidak mampu diusahakan, dan macam-macam lagi kesannya. Namun, jika Allah sebagai ’Tuan’ manusia, buat atau tidak, patuh atau taat seseorang hamba-Nya itu, langsung tidak mengurangkan atau menambahkemuliaan dan darjat-Nya. Langsung tidak menjejaskan keagungannya. Lantas, untuk apa makna kepatuhan kita sebagai hamba Allah? Kerana itu, cinta-Nya yang sentiasa membuahkan rezeki dan bahagia adalah kurniaan tanpa syarat. Tiada sebab itu, tiada sebab ini. Semata-mata hanya kita seorang hamba.

Jika kita hitung nikmat Allah, nescaya tidak terhitung banyaknya. Bukan sahaja nikmat yang dirasai oleh jasad, tetapi yang terbesarnya ialah nikmat roh, akal, fikiran dan ilmu pengetahuan. Yang tertinggi sekali ialah nikmat iman dan Islam. Nikmat yang tidak boleh dibanding dengan segala nikmat yang lain. Semua perintah Allah SWT dan larangannya. Sekiranya disempurnakan dengan baik maka menjadi kurnia yang sangat besar.

Allah SWT tidak mendapat apa-apa faedah daripada amal yang baik yang dilakukan oleh manusia dan semua amal kejahatan yang dilakukan oleh manusia tidak memberi apa-apa mudharat kepada Allah SWT. Disebut di dalam hadith Qudsi yang bermaksud:

"Wahai manusia, sekiranya kamu menjadi jin yang awal dan yang akhir."

Manusia yang pertama ialah Nabi Adam AS dan manusia yang paling akhir sekali meninggal dunia dicampur sekali. Semua kamu mengerjakan amal yang baik disatukan di satu tempat.

Allah SWT telah memberi kepada kamu semua apa-apa yang kamu minta, nescaya tidak mengurangkan apa yang ada di sisi Allah SWT, laksana dicelup jarum yang halus ke dalam lautan yang luas.

Sekiranya semua kamu, wahai manusia dan jin yang awal dan yang akhir hidup mendurhakai dan menentang Allah SWT nescaya tidak mengurangkan sedikitpun kerajaan Allah SWT. Itulah kebesaran Allah SWT.

Wallahu’alam.

Dia sentiasa memberi.

Tidak terasakah kita pada cinta-Nya?

Kita Cuma hamba.

Siapapun kita. Doktor, Peguam, Perdana Menteri, Sultan, Raja. Hakikatnya kita semua hamba. Tiada seorang pun yang tidak terkecuali untuk menanggalkan gelaran yang terpatri sejak azali lagi. Jadi apa tugas kita? Hanya perlu patuh kepada perintahnya. Jika bersusah payah kita berusaha patuh kepada tuan manusia, manakan tidak kita berusaha untuk patuh pada perintah Tuan kepada seluruh manusia, serta Tuan langit dan bumi keseluruhannya?

Tanggalkan kebongkakkan...gugurkan alasan.

Jika kita melihat kepatuhan itu perlu melihat orang lain, kita silap. Sedangkan kepatuhan itu harus tertumpu pada niat. Kalau kerana manusia, jadilah kepatuhan kita hanya kerana manusia. Tutup aurat sebab malu kepada orang. Solat sebab takut diperli. Kalau itu, sampai bila-bila kita tak mampu merasa nikmatnya bertuhankan Allah.

Jika kita bongkak untuk sujud dan patuh sebab kita sudah miliki segalanya. Rumah, kereta, anak isteri, duit, perniagaan, jadi tak perlukah lagi kita sujud merendah diri dan mangakui segala yang ada cuba pinjaman? Sedangkan segala-galanya mampu hilang dalam sekelip mata. Jadi, mana milik kita yang kita bongkakkan? Semuanya kembali pada Dia...

...dan kita, cuma hamba.

Alhamdulillah. Syukur.


Kita masih lagi menjadi insan terpilih di antara berjuta manusia yang ada. Masih lagi terpilih di antara berjuta-juta makhluk yang Allah cipta. Terpilih di antara berjuta-juta mereka yang dilahirkan ke dunia. Terpilih untuk mendapatkan yang terbaik di antara yang terbaik.


Dari tiada kepada ada. Diantara berjuta-juta benih berlari-lari menghampiri ovum, merempuh halangan yang pastinya tidak sedikit, akhirnya Allah memilih kita menjadi pemenang di antara berjuta yang berusaha. Maka lahirlah kita ke dunia. Namun, di antara yang berjaya, ada yang mati sebelum lahir menjengah usia. Namun kita, Alhamdulillah..syukur, kita lahir melihat ciptaan tuhan. Terbentang dengan seribu keindahan alam buana. Terbukti ! kita sudah terpilih di antara yang lain.


Dari tidak sempurna kepada sempurna. Lihatlah pada ciptaan anggota. Tangan, kaki, mulut, telinga, hidung, mata, hati, akal fikiran dan semua yang ada, sempurna bukan? Pernah tak kita melihat, ada orang yang kurang sempurna sifat fizikalnya, kakinya tempang, matanya buta, tangannya cacat dan pelbagai lagi ketidaksempurnaan yang ada pada orang lain. Tapi kita? Allah memilih kita untk merasai kesempurnaan itu. Tidakkah kita merasa terpilih di antara yang ada?

"Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. "As-Sajadah;9


Dari tidak tahu kepada tahu. Pandanglah sekeiling, dan sebutlah. Kita tahu banyak perkara. Bermula dari kecil lagi, kita belajar mengenal sesuatu. Siapa yang mengajar kita kenal dan tahu segalanya? Ibu bapa? Mereka cuma asbab kita mengenal sesuatu, tapi Allah la yang mengizinkan kita tahu dan berjaya menyebut satu persatu nama-nama ciptaanNya. Seandainya Allah tidak mengizinkan, tinggal la kita seperti segolongan yang tidak tahu. Golongan yang Allah tarik nikmat ilmu dan pengetahuanNya. Tapi bila Allah mengizinkan kita untuk tahu banyak perkara selama usia yang ada, bukankah terbukti lagi, bahawa kita terpilih di antara yang lain?


Dari tidak faham kepada faham. Jenuh kita membaca buku, penat kita bertanya, belajar di tadika, sekolah, universiti. Akhirnya Allah beri kefahaman yang banyak kepada kita. Bukan sahaja dapat mengenal, tapi dapat memahami hakikat kejadian sesuatu itu. Ilmu yang diperolehi, melayakkan kita menganalisa, mengintepretasi, menimbangtara, segala pengetahuan yang ada. Kalau dilihat di luar sana, berapa ramai orang yang kecundang dengan ilmunya sendiri dan akhirnya menghumban dia ke arah kemurkaan Allah? Kecundang dengan pilihan-pilihan yang ada akibat tidak cuba memahami apa yang Allah sampaikan atas setiap pengetahuan-Nya. Berapa ramai yang tahu, tapi tidak faham? Tapi kita? Alhamdulillah..kita masih terpilih oleh Allah untuk tahu dan memberi keupayaan untuk kita cuba memahami. Kita terpilih lagi. Semuanya atas keizinan Allah.

“Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki dan membatasi rezeki kepada siapa yang dikehendaki. Mereka gembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang sedikit berbanding kehidupan akhirat” - Ar-arad;26


Nikmat Allah terbentang luas. Namun, pernahkah kita terfikir, hanya orang-orang tertentu sahaja yang Allah pilih untuk menikmati nikmat-Nya. Nikmat rezeki, nikmat sihat, nikmat bahagia. Celik sahaja mata di awal pagi, kita sudah mampu menarik nafas kembali selepas dimatikan sebentar pada malamnya. Tapi berapa ramai orang yang Allah tarik nikmat bernafas kembali tanpa sempat menyesali dosa-dosa lalu? Tapi kita hari ini masih lagi Allah beri peluang beharga untuk terus bertaubat.


Hari ini kita masih lagi mampu tersenyum. Bahagia dengan keluarga. Kawan-kawan, suami, isteri dan rasa bahagia dengan apa yang ada. Namun pernahkah kita terfikir, mampu kah kita miliki rasa bahagia itu seandainya Allah tidak izinkan? Sedangkah Allah lah pemilih rasa bahaga itu. Bermakna, seandainya kita bahagia, Allah memilih kita untuk merasai nikmat berharga itu. Bukankah begitu? Sedang di luar sana, ramai orang keluh kesah dengan rumahtangganya, sentiasa tertekan dengan anak-anak, suami atau isteri. Rasa rimas dengan tanggungjawab, sehingga baginya tidak bermakna lagi hidup ini.


Hakikatnya, kita mudah merasa terpilih bila ada rezeki yang datang tanpa di duga. Kata hati tanpa sedar , “Oh! Inilah rezeki dari Allah”. Padahal kita lupa, rupa-rupanya setiap hari kita terpilih untuk menjadi perhatian Allah menerima nikmatnya tidak putus-putus. Allah sentiasa memberi tanpa menyekat nikmatnya biarpun kadangkala kita melakukan kemungkaran. Kalaupun dikurangkan nikmat-Nya sedikit kerana dosa yang kita lakukan, hakikatnya, nikmat yang diperolehi tidak pernah berkurang. Cuma kita yang kurang sempat menilai bahawa kita sentiasa terpiih untuk menerima nikmat-Nya.


Ambil lah masa, pandanglah ke dalam diri. Bersoal jawablah pada hati, nikmat apakah yang kita dustakan, semuanya dari Allah sehinggalah kita sedar, bahawa setiap hari kita sentiasa menjadi insan terpilih. Hargailah peluang yang diberi sebagai insane pilihan Allah, dengan menggunakan nikmat-Nya sehikmah mungkin, dan…bersyukurlah!


“Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur” -Al-Qashah;73


~Syukur, Alhamdulillah...saya masih terpilih untuk meng'update blog... :)
Rintik hujan bagai membasah jiwa...
menenangkan satu rasa yang sekian lama mencengkam dada...
di mana harus aku hamburkan sebuah perasaan ini...
kalau bukan pada si pemilik cinta.

Lelaki pertamaku...
ku temuimu dalam sebuah cinta...
yang akhirnya merona di balik takdir yang Maha Esa.

Engkau ku kenal sebagai yang pertama...
tiada pernah menjadi dua...kerana Dia mengikat kita...
biarpun hanya di pelabuhan sana menjadi tempat pertemuan buat sekian kalinya...
namun, akan ku sabar...
pertaruhkan masa....
pertaruhkan usia.

Ku ukir rasa cinta seindah kanvas termahal...
ku layangkan dalam doa, kukirimkan pada Dia...
si Pemilik Cinta...
ku hadiahkan padamu sebagai penganti rindu...
tiada lain ku impikan...
cuma segugus kebahagian mendampingimu...
setiap saat....agar kau mampu tersenyum pada dunia..
setelah kau tinggalkan aku demi takdir-Nya.

Lelaki pertamaku....
Tiada cinta lain setelahmu, yang berjaya masuk ke dasar hatiku...
melainkan hanya namamu ku bisikkan setiap kali sujudku...
harapanku...bila ku sebut namamu, kau juga menyebut namaku...
bila aku rindukanmu..kau juga rindukanku...
lantas kau juga mengirimkan doa seindah kasihmu buatku.

Lelaki pertamaku...
andai diizinkan Allah...
ingin ku bertemumu lagi....
akan ku kisahkan segala yang ku lalui di dunia ini...
aku ingin menjadi penglipur lara..dan kau pasti setia mendengarnya...
bagai waktu dahulu....
saat sabarmu mendengan kisah-kisah nakal dariku.

Ingin ku kucup tanganmu lagi...
tanda terima kasihku..
kerana telah meninggalkanku dengan satu kekuatan...

kekuatan menentang arus perasaan..
sehingga kini, aku menjadi tegar..
pada dunia yang semakin menduga rasa.

ingin juga ku rasa hangatnya ubun-ubunku disentuhmu...
sebagai penenang jiwa dikala gusar datang menganggu rasa...
biar tanpa suara, tapi cukuplah sentuhanmu memujuk ku...
yang kadangkala seakan kalah dengan kemahuan menguji deria.

Lelaki pertamaku....
Takkan pernah kau ku hilangkan dari nafasku...
biarpun datang yang ke dua, tapi kau tetap yang pertama...
kejauhanmu, membuatku semakin mengerti..
bahawa pergimu tanda cinta-Nya pada ku...
sebagai tarbiyah terindah...
bahawa tiada pergantungan lain sekukuh pergantungan pada-Nya..
biarpun kadangkala ingatanku padamu bak badai menghempas rasa.

Lelaki pertamaku...
hampir separuh suku abad aku ketiadaanmu....
dan selama itulah aku mengikat janji...
bahawa akan ku tulis kisah terhebat dalam episod hidup ini...
biarku menang sebagai pengarang...
dan pulangan kejayaanku, akan ku hadiahkan untukmu..
sebagai lelaki dalam hidupku..
yang pertama membisikkan kalimah azan di telinga kananku..
sejak kelopak mataku masih bertatih melihat dunia.
yang pertama tersenyum..
ketikaku mula-mula menjengah ke alam dunia.

Aku rindu untuk melihatmu..
aku rindu untuk mendengar bebelanmu..
aku rindu akan nasihatmu..
aku rindu segalanya darimu...
dan saat ini..aku terlalu rindu untuk memanggilmu..
dengan panggilan yang telah lama aku tidak melafazkannya...
Ayah....

Akan terus ku lakar ukiran ketaatan..yang hasilnya pasti buatmu di sana..
kerana utusan Allah telah terpahat diingatanku..
bahawa tiada yang ditinggalkan anak Adam kecuali tiga perkara..
dan antaranya adalah anak yang soleh...
moga anak yang soleh itu adalah aku...

Jarak dan masa telah memisahkan kita..
namun aku tidak gentar akan itu...
kerana sejauh manapun kau pergi..
selama manapun kau tiada...
kau tetap yang pertama..
pasti segar dalam ingatan..
sesegar darahmu mengalir halus dalam jasadku.


~aiNi~
`23.3,2.30pm-d227`


Dua hari lalu, sekitar jam 12.15 tengah malam saya dan seorang kawan berjalan pulang ke bilik penginapan kerana menghadiri satu program di Dewan Bukit Kachi, UUM. Seharusnya saya pulang lebih awal dari itu kerana program tamat sekitar jam 11.30 malam, tapi kerana tertarik dengan buku-buku yang dijual, masa berlalu seakan tidak sedar. Berjalan beriringan mendaki cerunan bukit Kachi sambil menikmati keindahan malam dengan bintang-bintang bertaburan indah di dada langit, satu suasana yang cukup indah dirasakan. Namun sewaktu melangkah untuk masuk ke blok, kami serentak terdengar suara-suara orang bercakap, lantas terpandang di satu sudut tempat yang agak gelap.

“ Akak nampak apa yang saya nampak? ”

“Ya” Jawab saya yag sedang melihat dari mana suara itu datang.

Kami melihat sepasang manusia sedang bergurau mesra di atas kerusi batu di satu sudut menghadap padang. Di sebalik biasan cahaya bulan, jelas kelihatan samar-samar seorang lelaki dan seorang perempuan yang bertudung. Kedudukan mereka sangat rapat. Tangan si lelaki memeluk rapat bahu perempuan itu. Darah saya menyirap.

“MasyaAllah..diorang nii”

Saya melihat jam. Dah hampir pagi, masih ada yang bermesra tanpa hirau gelap.

Fikiran saya berputar ligat. Apa yang harus saya lakukan? Kalau saya ke sana, apa yang harus saya katakan pada mereka? Kalau dimarahi lagi bagaimana?

“Ahh…biarlah apapun berlaku” Saya menjawab sendiri sambil berhenti berjalan.

“Kenapa kak ?” Terkejut dengan tindakan saya mungkin.

“Jom, teman akak..kita ke sana” Saya menarik tangan kawan di sebelah. Berjalan menuju ke tempat pasangan yang sedang asyik bergurau tanpa sedar kehadiran kami.

“Assalamu’alaikum…”

Terkejut dengan kehadiran kami, si lelaki melarikan tangannya dari bahu perempuan di sebelahnya.

“Maaf kalau akak menegur..sekarang dah lewat malam. ..macam tak elok la duduk macam ni, gelap dan sunyi..Kalau ada hal penting yang sedang dibincangkan, baik kalau ke tempat yang lebih cerah sikit atau esok sahaja sambung perbincangan” Saya mengatur perkataan. Cuba untuk sehikmah mungkin.

“ Oh, ok. Kami bukannya buat apa-apapun kak…kami just sembang-sembang je. Sambil makan-makan” jawab si perempuan yang nampak manis bertudung.

“Ya, ok, kami beredar sekarang..terima kasih kak” jawab si lelaki pula.

Kami sempat bertukar senyum. Lantas kami berdua beredar menuju ke bilik. Terasa ringan di bahu yang tadi bagai ada beban.

Teringat satu ketika, sekitar dua tahun yang lalu, semalaman dengan perasaan yang berat dan tidur dalam keadaan rasa bersalah pada diri sendiri berikutan tidak menegur pasangan yang berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan selepas pulang dari kelas malam. Waktu itu keimanan dan kekuatan tidak membantu diri untuk menegur. Akhirnya pulang ke bilik dengan satu perasaan yang berat bagai ada beban.

Waktu melihat mereka berdua bermesra, perbagai persoalan timbul di kepala dan yang paling merisaukan, sekiranya dimarahi lagi bagaimana? Kerana malam sebelumnya pernah berlaku di mana saya dimarahi kerana menegurnya untuk tidak berdua-duaan di tempat sunyi dan gelap. Si lelaki bertindak tegas dan berani memarahi saya yang menegur.

“Kamu ni siapa? Badan pencegah maksiat? Ada pas keahlian tak?”

“Saya bukan siapa-siapa, tapi saya seorang Islam sama seperti kamu, yang akan menegur kalau ada apa yang tidak kena pada pandangan mata agama..dan menjadi tanggungjawab saya untuk menegur sebab saya melihat” Tegas saya pula.

“Oh, ok..terima kasihlah ..yang penting kami tahu apa yang kami buat..tak ganggu awak dan tak ganggu orang lain.. Terima kasih sekali lagi. Nanti kami beredar” Tegas juga si perempuan dengan kata-kata yang agak sinis.

Saya pulang dengan beribu rasa yang bermain-main di fikiran. Agak terasa apabila dimarahi. Namun, dipujuk hati sendiri bahawa bukan mudah menegakkan kebenaran. Walaupun kesannya menyakitkan hati, lebih baik dari terasa beban sekiranya membiarkan tanpa teguran.

Saya terfikir, adakah waktu itu saya menegurnya dengan keadaan mereka ‘tidak bersalah’? Tidak. Keadaan mereka betul-betul mendatangkan syak. Di tempat gelap dan sunyi. Waktu itupun dah lewat malam. Jadi tindakan saya, tidak salah.

Merenung kembali kisah-kisah yang pernah saya lalui dalam usaha menegur tindakan mereka yang tidak baik dan menghampiri kemungkaran, saya terfikir, kenapa Allah memberi banyak peluang kepada saya untuk bertembung dengan pasangan yang berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah? Kalau bukan untuk saya mengambil pengajaran dan tindakan, apa lagi maksud Allah? Jadi alangkah rasa bersalahnya seandainya saya hanya membiarkan tanpa tindakan.

Teringat akan hadist Rasulullah SAW yang menyebut:

Daripada Abu Said r.a katanya :

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Siapa yang melihat dan (mengetahui) sebarang perbuatan mungkar, maka hendaklah diubahnya dengan tangannya (kuasanya), jika sekirannya tidak berkemampuan maka ubahlah dengan lidahnya dan jika sekiranya tidak mampu juga maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” – Muslim

Mungkin ada yang berpendapat:

‘ Tegur sajalah dengan hati..kita tak ada kuasa’

Menggunakan medium hati untuk membenci kemungkaran yang terlihat adalah jalan terakhir selepas perlakuan dengan kuasa dan dengan lisannya iaitu teguran. Namun sampai bila harus menggunakan selemah-lemah iman, sedangkan teguran dengan perbuatan dan lisan belum lagi kita gunakan? Apakah perlu mendapatkan bukti kelulusan daripada mana-mana badan pencegah baru terasa ada kekuatan untuk menegur? Kalau tak ada cukuplah sekadar di hati?

Pada saya, tindakan menegur itu bukanlah untuk pasangan atau untuk mereka yang sedang melakukan kemungkaran, tapi hakikatnya juga untuk yang menegur. Sebagai pengajaran yang berharga atas kemungkaran yang dilihat. Pastinya bukan mudah untuk menegur, kerana setelah menegur kita secara tersiratnya menanam satu perjanjian bahawa kita membenci kemungkaran yang dilakukan serta tidak akan melakukan seperti apa yang terlihat. Tidak patut orang yang menegur akan melakukan hal kemungkaran yang sama suatu ketika nanti. Nauzubillah.

Satu perkara yang penting dalam situasi menegur kemungkaran bukan dengan hati tapi dengan lisan adalah untuk menanam budaya sensitif dikalangan masyarakat. Kalau kita hanya menegur diam-diam di hati, mereka yang terlibat melihat apa yang dilakukan ‘dibenarkan’ oleh kita yang melihat keran tidak menegur dan merasakan itu satu kesalahan walaupun hakikatnya kita membenci perbutan mereka dengan hati. Oleh itu, penting juga kebencian kepada maksiat dan kemungkaran harus dizahirkan. Biar mereka tahu, perbuatan itu salah dan masih ada orang yang sudi menegur perbuatan mereka yang mungkin pada mereka itu bukanlah perbuatan yang salah.

Satu persoalan yang mungkin bermain-main di fikiran kita dalam usaha untuk menegur ialah, apa yang seharusnya kita perkatakan pada mereka? Nak tegur macam mana? Teguran perlulah kreatif dan berhikmah membina ungkapan. Biar mereka tidak terasa hati dan memberi rasa pada mereka bahawa teguran kita tiada kepentingan lain semata-mata untuk membetulkan kesalahan tindakan mereka.

‘Tapi kalau lepas itu mereka berdua-duaan mengulangi perbuatan itu lagi, bagaimana?’

Persoalan itu mungkin bermain-main difikiran menjadikan kita teragak-agak untuk menegur kemungkaran. Pada saya, persoalan ini harus dikemudiankan, yang lebih penting adalah kita sudah menegur atau belum? Kerana hidayah itu hak Allah. Berjaya atau tidak biarlah tinggal di tangga kedua. Kerana kita sebagai orang yang melihat, harus bertindak dengan segala kemampuan yang ada pada waktu itu.

Sungguh, syaitan itu kreatif. Dia pasti akan berusaha dan mendatangi manusia dari kiri dan kanan serta depan dan belakang sehingga terlihat sesuatu perbuatan itu indah biarpun menghampiri kemungkaran. Dia cuba untuk memperdayakan manusia sehingga perbuatan mungkar itu tidak dirasakan salah bagi sesetengah orang yang sedang dibuai perasaan . Orang yang melihat kemungkaran juga tidak terkecuali dari terkena tempias kekreatifan syaitan. Pasti dibolak-balikkan hati dalam usaha kita untuk menegur kemungkaran yang jelas terlihat didepan mata.
Wallahu'alam.

‘Oh syaitan..seandainya kamu punyai agenda untuk meramaikan pengikutmu..akan kukerahkan anggotaku untuk berusaha menghancurkan agendamu dengan segenap kemampuanku..InsyaAllah.’

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Sedar tak sedar usia kita semakin berganjak. Sesetengah orang, hari-hari yang dilalui penuh dengan gelak ketawa, hilai tawa. Namun ada juga mereka yang melalui episod kehidupan dengan duka dan lara. Semuanya sudah tertulis untuk setiap langkah perjalanan kita sebagai hamba di bawah langit yang kita junjung.

Namun, dalam mengejar keindahan yang terselit di sebalik bilahan dunia, atau dalam sibuk melawan kehendak dan keinginan hati yang tidak pernah bertepi, atau sedang keliru memilih jalan-jalan yang terbentang banyak pilihan...ada sesuatu yang pasti. Sesuatu itu yang menentukan kehendak pilihan, sesuatu itu yang menimbangtara tindakan, sesuatu itu yang menyekat keinginan berlebihan, sesuatu itu yang membuatkan seseorang tidak lupa hidup sebagai hamba dan akan ada pengadilan. iaitu dosa dan pahala.

Berjalan di bumi yang luas terbentang, dengan memenuhi kehendak-kehendak yang ada, umpama berjalan di padang yang penuh kemuncup. Jalan di padang itulah yang harus kita lalui. Jalan yang asalnya bersih dan tersisih dari segala macam tumbuhan yang menganggu, kini penuh dengan kemuncup yang segar dan pastinya akan melekat pada pakaian seandainya kita melalui jalan itu tanpa berhati-hati. Namun, walau berhati-hati setakat mana sekalipun pasti benih-benih kemuncup itu akan terlekat jua walau satu atau dua. Kerana hanya itu jalan yang harus kita lalui, dan hanya itu jalan yang kebanyakkan orang yang lintasi.

Namun, orang-orang yang merasa kemuncup yang melekat itu sebagai kotoran atau sesuatu yang menganggu, pasti akan disishkannya. Behenti sebentar di tepian, dan sisihkan kemuncup yang melekat di pakaiannya. Tapi, bagi yang tidak merasai iainya sebagai satu gangguan, tanpa rasa rimas, diteruskan perjalanan dengan kemuncup yang semakin hari semakin penuh di pakaiannya.

Begitulah umpama hidup ini, hari-hari yang kita lalui penuh dengan benih-benih dosa yang berada diperjalanan hidup. Setiap hari, bahkan setiap detik kita sentiasa dihidangkan dengan bibit-bibit dosa yang ada pada anasir jahiliyyah. Apa yang kita pandang, apa yang kita dengar, apa yang kita lihat, apa yang kita fikir, apa yang kita perkatakan, apa yang kita lakukan, dan segala macam tindakan yang kita ambil setiap hari, terdedah dengan dosa. Mata kadangkala memandang perkara-perkara maksiat, mulut mudah menabur fitnah dan mengucapkan nista, tangan dan kaki terarah melakukan tindakan murka, telinga berpeluang mendengar sesuatu yang enak di dengar namun hakikatnya mengundang dosa, Fikiran sentiasa mencari peluang menghancurkan tindakan mulia dan hati yang menjadi pusat kawalan akhirnya tunduk jua pada nafsu yang bermaharajalela. Na'uzubillah.

Begitulah kehidupan yang sudah diselaputi anasir-anasir jahiliyyah yang ada. Bagi mereka yang tidak sedar akan hakikat ini, pasti akan berkata "Inilah syurga dunia". Dengan segala macam kemewahan dan keindahan yang ada di dunia telah mengabuli mata untuk melihat hakikat syurga yang sebenarnya. Mata yang enak dan terbiasa dengan memandang perkara-perkara dosa tidak lagi merasakan itulah adalah dosa, malah merasakan itu adalah satu kebiasaan yang dilakukan oleh orang kebanyakkan sekarang. 'kebiasaan' itu telah menyelaputi dan mengabuli mata hati untuk melihat kebenaran. Sesungguhnya syaitan itu kreatif. Pandai menukar warna hitam dosa kepada warna-warna indah menurut keinginan manusia, kerana dia tahu manusia itu pasti kalah dengan keinginan.

Namun, bagi orang yang sedar bahawa hidup ini banyak anasir jahiliyyah yang menanti di jalanan, pasti akan berhati-hati dalam menapak atas pentas kehidupan. Umpama padang kemuncup yang ada jalan-jalan yang harus kita lalui untuk sampai ke destinasi. Setiap daripada 'mereka' takkan terlepas dari terkena kemuncup, namun yang menjadi penilaian, diantara kita, siapa yang berusaha membersihkan kemuncup yang melekat pada pakaian. Berhenti sebentar menyinsihkannya atau terusan berjalan tanpa rasa apa-apa? Semoga yang tidak merasa sensitif pada setiap tusukan 'kemuncup' pada pakaian itu, bukanlah kita.

Begitulah kehidupan. Tiada siapa terlepas dari melakukan dosa. Namun, di antara kita siapakah 'mereka' yang berusaha untuk berhenti sebentar mencari persinggahan lantas muhasabah dan bertaubat atas keterlanjuran tindakan yang mengundang dosa dan murka Tuhan? Di antara kita siapa yang merasa resah atas setiap dosa yang kita lakukan? Di antara kita siapa yang berusaha untuk melalui jalan yang jauh dari bibit-bibit kemurkaan Allah? Semoga 'mereka' itu adalah kita.

Ungkapan pegangan berbau gurauan " Alah, nanti dah tua bertaubatlah" sering kita dengar. Namun, pernah atau tidak kita terfikir, usia itu rahsia Allah. Ungkapan itu hanya sesuai apabila kita sampai usia tua, tapi kalau tidak sempat tua? Dipertengahan usia remaja ajal sudah menjemput, bagaimana? Kerana usia itu adalah rahsialah seharusnya kita perlu lebih berhati-hati dalam menapak di bumi ini. Berapa ramai yang menghabiskan usianya pada umur muda belia? Dan yang pentingnya berapa ramai yang menghembuskan nafas terakhir dengan dirinya sudah bersih dari dosa?


Kecenderungan melakukan dosa adalah lumrah seorang hamba, namun yang menjadi ukuran Allah kepada kita adalah setakat mana kita berusaha membersihkan dosa-dosa itu.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih. Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkanAku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anakAdam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi"

Kerana itulah pentingnya muhasabah berterusan. Semoga perjalanan harian yang kita lalui tidak melekat dengan kemuncup tanpa pernah berusaha untuk membersihkannya yang akhirnya kita bawa berterusan sehingga sampai ke destinasi.

Biarlah kehidupan yang kita lalui bersih dari dosa dan yang kita persembahkan pada Allah di akhir kehidupan nanti hanyalah pahala. InsyaAllah.
Wallahu'alam