Hipokrit dan Tunduk

by Tuesday, August 25, 2009 2 comments
Dilema;
Seorang gadis ditanya mengapa dia tidak mahu bertudung, dan jawapannya seperti di bawah;

Gadis: saya takut nanti tak ikhlas, saya masih belum bersedia. Nanti orang kata hipokrit pula.

Maaf, sekiranya sekarang anda telah membaca dengan emosi, ada baiknya anda tinggalkan laman ini. Saya mengajak mereka yang mahu berfikir untuk terus membaca dan cuba memahami hakikat sebenar permasalahan yang sedang dihidapi (bukan dihadapi) oleh orang kita. Iya, orang Islam. Bukan Melayu sahaja, tetapi Muslim seluruhnya.

Pertamanya, cebisan di atas ialah contoh, bukan itu permasalahannya, insyaAllah, kita akan pergi ke arah punca permasalahan kemudian nanti. Apa yang saya cuba untuk bawakan ialah untuk kita semua melihat satu masalah dengan lebih menyeluruh, mengikut kacamata, atau sisi pandang Islam. Soalan yang kita perlu fikirkan, apakah hipokrit kalau kita pakai tudung tanpa kerelaan hati?

Mencantas Definisi

Apabila hendak menjawab persoalan ini, kita perlu balik semula kepada Islam. Apakah erti Islam? Islam bukan sekadar ertinya sejahtera, aman dan seumpamanya, ia bahkan lebih luas dan jauh dari sekadar apa yang kita tahu. Islam itu ialah kita tunduk, patuh, taat dan berserah diri, jiwa dan ruh kepada ketentuan dan kekuasaan Allah. Baik, persoalan baharu, seandainya perbuatan kita hari ini tidak selari dengan ‘ISLAM’, adakah kita seorang Muslim?

Kita juga perlu melihat kepada erti iman. Iman ialah membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lisan, dan dibuktikan dengan perbuatan. Abu Urwah dalam tulisan beliau Risalah Usrah menyebut bahawa iman seseorang itu hanya terbukti apabila ia bukan sekadar bermain di bibir, tetapi HATInya juga turut membenarkan dan menghayati kebenaran dan hak risalah dari Allah SWT. Jadi yang perlu untuk beriman juga ialah hati, hati juga perlu ‘masuk’ Islam.

Hati ini ialah satu tempat di mana ‘rasa’ bermain-main. Kita rasa suka HATI, kita rasa sakit HATI. Hati ialah tempat perasaan itu bergelojak, kekadang dia menaik dan kekadang di menurun. Dan hati inilah tempatnya nafsu diletakkan, andai ia bergelojak, dia melonjak menjadi syahwat, andai dia menurun, dia bersifat dengan sekadarnya. Perhatikan dua dalil di bawah ini;


... Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang
apabila iabaik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah
seluruhjasad. Ketahuilah ia adalah hati. [riwayat Bukhari dan Muslim]

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang
diingini,iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas,
perak, kudapilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan
hidup didunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).
[QS:3:14]


Maka yang perlu ditundukkan juga ialah hati, hati kita juga perlu Islam. Kerana hati itu kata Rasulullah SAW raja, dan anggota sebagai rakyat, andai baik rajanya, baiklah juga rakyatnya, begitu pula sebaliknya.

Hati manusia suka akan sesuatu yang menyebabkan dia rasa senang, rasa suka, rasa lapang. Tetapi dia tertipu dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu tentang definisi dan pemahaman ‘senang’, ‘suka’, ‘lapang’ yang sebenar. Pandangan hati itu dikaburi dengan hanya mampu melihat sejauh pandangannya di dunia sahaja. Sedangkan orang yang mengharapkan dirinya berada dalam syurga akan berfikir mengguna akal dan beriman setinggi mampunya agar layak dan setara dengan syurga yang dia mendamba.

Menyingkap Sirah

Mari kita belajar daripada golongan terawal daripada kita terdahulu. Ketika mana Allah turunkan ayat larangan meminum arak, apakah arak itu bukan daripada kesukaan mereka ketika itu? Ada yang simpan di dalam rumah, terus sahaja mencampak arak, pecah bertaburan dan melimpah airnya. Ada yang sedang minum, tidak tunggu teguk sehingga habis, terus buang. Apakah ketika itu mereka tidak merasakan nikmatnya? Apakah hatinya tidak mengatakan sayang sekali andai dibuang, habiskanlah yang terakhir ini? Tidak!! Bahkan mereka terus sahaja membuangnya. Demi Allah, hati mereka telah tunduk, patuh, taat, dan berserah kepada Allah SWT dan ketentuan serta ketetapan-Nya.

Begitu juga ketika mana Allah turunkan ayat perintah untuk memakai tudung. Ketika itu perempuan-perempuan yang beriman tidak menunggu biarpun seketika, melainkan mereka mencapai apa sahaja yang tercapai oleh tangan untuk menutup kepala. Ini tiada lain melainkan hati mereka juga telah tunduk kepada Allah dan Rasulullah. Bersedia untuk menerima apa sahaja perintah dan larangan daripada Allah SWT.

Permasalahan Sebenar

Baik, permasalahan yang sebenar untuk kita uliti. Adakah kita tidak hipokrit dalam erti kata lain munafik apabila kita mengerti, faham, dan akui bahawa Allah SWT lah yang menjadikan, menciptakan, meniup roh, dan memberi kehidupan kepada kita, bahawa Dialah yang menggenggam jiwa dan roh kita, dan Dia telah memberikan nikmat makan dan minum kepada kita. Namun, apabila Allah meminta kepatuhan kita kepada-Nya, kita menolak untuk akur. Kita menolak untuk tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Betapa ironinya, Dialah sumber segala kebaikan tetapi apabila kita diminta tunduk, kita menolak, apabila kita ditegah, kita mencelah.


Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi
perempuanyang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu
ketetapan, akanada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan
barangsiapamendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat,
sesat yangnyata. [QS:33:36]


Siapakah yang lebih baik akan perancangannya? Siapakah yang paling maklum dan ma’ruf tentang hakikat penciptaan kita? Siapakah yang lebih tahu akan keperluan dan apa yang terbaik buat kita? Dialah Allah, tiada lain melainkan al-Ilah dan Rabb yang menguasai dan memegang jiwa kita. Apakah kita tidak berasa bersalah atas segala nikmat yang diberikan kepada kita, kita masih lagi menolak untuk taat dan patuh kepada Dia? Apakah kita tidak tahu bahawa seandainya Allah mahu mencabut segala nikmat yang Dia telah, sedang dan akan berikan kepada kita, Dia bisa sahaja melakukannya saat ini juga.

Iya, inilah permasalahannya, kita sengaja mereka-reka alasan untuk tidak mahu hipokrit melaksanakan perintah dan larangan-Nya sedangkan apabila kita menundukkan kemahuan dan kehendak nafsu kita kepada kepatuhan dan ketaatan kepada Allah, ia adalah tanda keimanan kita kepada Allah. Kita terpaksa memerah akal mencipta alasan semata-mata untuk tidak mahu melaksanakan perintah yang telah diberi oleh Allah SWT.

Sebagai satu kesimpulan, hipokriti yang kabur dan tidak kita fahami, perlu kita tinggalkan dan jauhi kerana ia bukan satu fahaman atau anutan yang diasas atau dianjurkan Islam. Sebelum kita mengira-ngira diri kita hipokrit di hadapan manusia, soallah diri apakah kita ini tidak hipokrit terhadap Allah? Iya, sesungguhnya Allah sahajalah yang mengetahui isi hati manusia seluruhnya, dan kita yang membaca tahu apa yang tersimpan dan terbuku dalam hati kita sendiri. Apakah kita bertuhankan Allah atau kita bertuhankan hawa?

*******************************************************************************
entry ini saya ambil dari : http://thetalkingpen.blogspot.com ; saudara emir abu khalil.

disaat saya sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya persimpangan antara hidayah dan kehendak. Bilamana hati yang ingin melangkah ke jalan Allah , tiba-tiba diri digusari dengan kemunginan-kemungkinan yang entah benar atau tidak.

hati perlu tegas pada kehendak..!!
Tiada yang hak boleh bergaul dengan yang batil.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

2 comments:

Durratul Husna said...

Tidak sepatutnya mengadakan alasan dalam usaha menjadi lebih taat kepada Allah.

Anonymous said...

thanks. entri ini membantu sy dalam membuat piliha... sy penat fikir...tknye sy jdi mcm nie mcm nie..takut hipokrit..takut munafiq...tp sy salah... btlkan..kita d jadikan tuk tunduk patuh pada Allah..walau terpaksa susah payah dengan memaksa diri untuk tunduk dah patuh pun....kita kena wat...walau ilmunya blm sampai..kita kena wat sambil mencari... kalu tak wat..itulah hipokrit sebenar...hipokrit kepada Allah...btl ke mcm tu