Jadilah kalian seperti permata...

by Thursday, November 12, 2009 0 comments
Halaqah usrah kami petang jumaat yang lalu, terasa ada kekurangan. Tidak seperti selalunya. Bukan kerana kurangnya penyampaian, tapi kesan dari kurangnya ahli yang hadir. Selalunya kedatangan penuh tercatat dalam buku rekod. Namun, kehilangan beberapa orang sahabat yang sememangnya menjadi pelengkap pada setiap kali perjumpaan, sangat kami rasai. Itulah hakikat yang perlu kami terima. Perginya sahabat itu kerana pulangnya untuk mengapai sebuah impian di sana. Kini, hanya tinggal kami bertiga meneruskan proses yang sememangnya tidak berpenghujung.

Menyingkap kenangan, sewaktu kami berlima berkumpul dan menghabiskan masa bersama suatu ketika dahulu, seorang daripada kami bertanya:

"Macam mana ya kalau suatu hari nanti kita terpaksa pulang ke kampung atau berhijrah ke tempat lain atas tuntutan tanggungjawab...macam mana usrah kita di sana ya?"

Masing-masing saling memandang..mengangguk..seolah-olah berkongsi satu rasa yang bernama 'kerisauan'. Persoalan ukhty itu tidak kami sangkal lagi atau terus bertanya; kenapa fikir sebegitu? Tidak. Kerana kami sendiri merasai perasaan dan tuntutan jawapan dari persoalan yang sama.

Lumrah kehidupan, apabila kita bertemu dan berukhuwah, akhirnya dipisahkan atas pelbagai tuntutan, pasti akan meninggalkan bekas. Lebih-lebih lagi ukhwah yang diikat atas dasar mencapai keredhaan Allah dan keadaan inilah yang sedang kami rasai. Bila mana seorang demi seorang daripada ahli halaqah beredar keluar dan berhijrah atas tuntutan tanggungjawab yang lebih utama, pasti sangat kami rasai... dan yang paling merisaukan hati, adakah ukhwah dan pertautan halaqah yang akan datang sama seperti yang telah dan pernah kami miliki?

Semuanya kerana masing-masing mula merasai nikmatnya tarbiyah itu. Sehingga kerisauan mula menjemput seandainya diri di goyahkan dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Bukan kerana risau kalau tempat baru itu kurangnya punca tarbiyah, tapi bimbang akan diri sendiri yang kurang fokus dek berlainan tempat dan orang sekitarnya.

Bercerita soal usrah, teringat saya kata-kata seorang adik minggu lalu sewaktu halaqah terakhir saya bersama mereka, kata salah seorang daripadanya juga mengungkap kata-kata kerisauan.

" kak, macam mana kami nanti ya bila dah tidak ada usrah dengan akak, kami nak usrah dengan siapa?"

Saya faham akan persoalan itu, kerana saya juga sempat merasai saat saya sendiri tertanya-tanya akan peluang tarbiyah suatu ketika dulu. Namun, jelas saya pada mereka, tarbiyah itu ada di mana-mana, usah di tanya soal dengan siapa kita akan dibawa, tapi berusahalah untuk terus melibatkan diri dalam arena tarbiyah. Mungkin kita akan terasa sedikit janggal atau terasing apabila kita berada di kelompok yang tidak lagi semesra biasa, namun itulah namanya tarbiyah. Mendidik hati menerima dan bersedia apa jua keadaan yang mendatang. Namun, apa yang penting, adakah diri kita bersedia untuk terus ditarbiyah? Persoalan yang perlu difikirkan jawapannya.

Jadilah kalian seperti permata....

Tiada kata yang mampu saya ungkapkan bila soal penghijrahan sahabat dan kerisauan tentang peluang untuk dapatkan tarbiyah melalui madrasah usrah mula diungkit. Apa yang tersirat di benak fikiran saya dan harapan yang menggunung agar akhawat yang saya sayangi yang telah sama-sama mengharungi sedikit getir langkah dalam tarbiyah usrah agar menjadi sebutir permata yang menyinar.

kenapa sebutir permata?

Kerana permata seperti yang kita ketahui mahal harganya, cantik sinarnya dan terpelihara kualitinya. Lihatlah sifat permata, campaklah kemanapun, pasti ia akan menyinar menerangi. Andai di letak di tempat yang cerah, akan bertambah cerahlah jadinya. Begitu juga jikalau campakkan permata itu di tempat yang gelap, pasti sinar yang ada padanya, memancarkan cahaya walau sedikit, namun tetap tidak mengalah bagai memberi dengan ikhlas.

Begitulah harapan yang tersimpan dalam lubuk hati ini. Ingin sekali saya melihat akhawat yang berhijrah keluar memenuhi tuntutan hidup yang lebih utama supaya menjadi sebutir permata. Tarbiyah yang pernah kita sama-sama perolehi agar digunakan sebaiknya. Tiada yang lebih bererti pada ilmu yang kita perolehi selain amal untuk terus mengislah diri dan seru orang lain ke arah yang lebih baik. Bukankah itu matlamat dan tujuan kita berhalaqah usrah?

Bermanfaatlah untuk orang lain...

Kembalikan langkah kita pada matlamat yang jelas. Lihatlah kembali apa yang sedang kita perjuangkan dan apa yang perlu kita pertaruhkan. Bukankah misi kita untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta visi kita menuju kepada menjadikan agama sebagai panduan seluruh alam? Semuanya bermula dari langkah kita pada hari ini. Namun, ianya tidak terbatas pada sesetengah tempat atau sebahagian orang. Lantaran itu, ke mana pun kita suatu hari nanti tetaplah di atas matlamat yang satu dan ilmu yang diperolehi dari tarbiyah yang tidak bernokhtah, bermanfaatlah untuk orang sekeliling.

Namun, jalan yang kita sedang lalui ini bukanlah mudah, pasti ada duri-durinya. Lumrah dan sunnah orang yang menyeru. Oleh itu,teruskan lah mujahadah dan libatkan diri dalam madrasah tarbiyah. Gilapkanlah kefahaman dan sampaikanlah fikrah itu pada orang lain yang memerlukannya. Sungguh sayang sekali seandainya fikrah yang kita perolehi hanya terhad untuk diri sendiri tanpa disampaikan untuk orang lain. Sedangkan permata yang berkualiti sentiasa hidup dengan cahaya yang bersinar terang menerangi dengan sejuta rasa keikhlasan.

ya, pertaruhkanlah rasa keikhlasan untuk melihat orang sekeliling kita bahagia dengan sinar yang datang dari diri kita sendiri. insyaAllah.

lantaran itu..jadilah kalian seperti permata..di manapun kalian di campakkan, gilaplah cahaya dalam diri dan sinarilah orang sekeliling.

~pastinya semua ini sebagai ingatan untuk diri sendiri yang juga bakal meninggalkan lapangan tarbiyah di bumi hijau ini demi tuntutan yang lebih utama di sana.

wallahu'alam..

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: