Menelusuri detik-detik hijrah Rasulullah

by Monday, December 21, 2009 0 comments
Bila disebut tentang Tahun Baru Hijrah, pasti baris-baris lagu ‘Satu Muharam’ berputar-putar dibenak fikiran kebanyakan antara kita. Menghayati bait-bait lagu tersebut memungkinkan kita mengingati peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat. Lirik lagu menceritakan bagaimana hijrah Rasulullah yang lari daripada cengkaman kebatilan menuju ke arah kesempurnaan kesatuan masyarakat bagi menjamin keutuhan agama Islam waktu tersebut.

Bila mengingatkan kembali peristiwa hijrah juga, layar fikiran berputar kembali ke zaman persekolahan dulu. Silibus Pendidikan Islam dan Sejarah Asia seperti mewajibkan kita semua memahami sirah hijrah Rasulullah. Namun oleh kerana pendidikan waktu itu berkongsepkan’ balajar untuk peperiksaan’ oleh kebanyakan antara kita, tinggallah kisah sirah hijrah Rasulullah sebagai modal untuk peperiksaan sahaja tanpa ada penghayatan dan pangajaran yang bermakna buat diri. Kalau tidak percaya, tanyalah pada diri kita semua (termasuklah diri saya sendiri) setakat mana kisah hijrah Rasulullah masih utuh di benak fikiran?

Bila menyebut soal penghijrahan, saya suka kiranya kita duduk sebentar dan menghayati setiap detik perjalanan hijrah Rasulullah. Kerana di sinilah detik permulaan makna hijrah itu sendiri dalam sejarah ummat Islam. Hijrah bererti perpindahan dari keburukan ke arah kebaikan. Dari kebatilan menuju ke arah yang lebih hak. Memang sunnah dan lumrah kehidupan, kita semua dibentangkan dengan dua keadaan yang berbeza, hanya kebijaksanaan akal dipandu iman di jiwa yang mampu memilih antara dua pilihan yang terbentang.

Menghayati peristiwa hijrah

Begitu juga dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, semuanya kerana menuju ke arah kebaikan. Bermula dari penindasan masyarakat kafir Quraisy di Mekah yang terlalu menekan orang islam dek kerana ajaran yang di bawa nabi. Orang Islam waktu itu ditindas dengan bersunguh-sungguh oleh orang kafir. Pergelutan antara yang hak yang tidak bersenjata (Islam) dengan batil yang siap siaga (kafir Quraisy) bersenjata lagi kuat bertambah kuat. Orang Islam bersabar sebagai mana kesabaran perwira sehinggalah lahir insan berperibadi agung seperti Bilal bin Rabah, Sumayyah serta ramai lagi para sahabat dan orang Islam yang kental imannya walaupun lemah jasadnya melawan penindasan kafir laknatullah waktu itu. Sehinggalah Allah memberi mereka jalan keluar. Bertahun-tahun berlalu dan hari terus berganti hari, sedangkan kedegilan dan penindasan Quraisy semakin hebat untuk menggugat orang beriman. Hinggakan orang Islam tergolong di kalangan orang Islam yang di uji hebat agamanya, disiksa dalam cengkaman keangkuhan mereka. Ramai orang Islam menjadi pelarian membawa bersama aqidah yang utuh di sanubari. Mereka telah menukar kesejahteraan hidup dengan memilih untuk memelihara aqidah yang suci. Pergilah mereka di tengah-tengah malam yang pekat mengharap pertolangan dan sinar baru dari Allah.

Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui, diilhamkan untuk Rasulullah satu jalan ke arah kesejahteraan orang Islam waktu itu iaitu penghijrahan ke Kota Madinah. Allah juga membuka hati-hati kaum Yatsrib Madinah (Anshor) untuk menerima kedatangan Rasulullah dan kaum Muhajirin yang lain. Allah telah menimbulkan kecintaan mereka terhadap iman, lantas bermulalah bai’ah Aqabah yang ke dua. Penerimaan kaum Anshor bagai rahmat dari Allah. Mereka menyambut orang Islam yang datang dari Mekah dengan penuh rasa kecintaan dan alu-aluan. Maka berlakulah hijrah Rasulullah dan para sahabat dengan segala persiapan dan strategi penghijrahan yang penuh kebijaksanaan. Padang pasir yang penuh fatamorgana direntasi, bukit bukau didaki…semuanya tidak mematahkan semangat Rasulullah dan sahabat kerana di hadapan mereka bagai ada cahaya indah yang sedang menanti.

Andai diteliti setiap inci perjalanan hijrah Rasulullah dan para sahabat, pasti membuatkan kita mampu mengalirkan air mata. Manakan tidak, jejak-jejak hijrah Rasulullah meninggalkan kesan halus bagi yang menghayati. Seperti kisah kasihnya Abu Bakar pada Rasulullah di Gua Thur, kisah bijaknya ‘ Amir bin Fuhairah yang membawa sekawan kambing untuk menghilangkan bekas jejak Rasulullah, Kisah Suraqah yang teruja dengan kebenaran yang di bawa oleh Rasulullah setelah kudanya berkali-kali rebah sewaktu mengejar Rasulullah dan Abu Bakar di padang pasir dalam usaha menggagalkan penghijrahan baginda. Kisah bahagia dan riangnya penduduk Madinah saat menyambut kedatangan Rasulullah. Mereka mendendangkan lagu riang sambil berebut-rebut memegang tali unta meminta Rasulullah menjadi tetamu mereka. Kisah maha gembiranya Abu Ayyub tatkala rumahnya menjadi pilihan Allah untuk Rasulullah bertamu dan bermalam. Kisah kanak-kanak yang riang menghiburkan baginda. Dikala itu Rasulullah mengungkapkan soalan indah buat mereka; “
adakah kamu semua menyintai saya?” mereka serentak menjawab; “ya”. Rasulullah membalas lagi dengan sabdanya; “ Sesungguhnya Allah mengetahui hati saya menyintai kamu semua”. Subhanallah. Pasti teramat bahagia penduduk madinah waktu itu dihiasi bunga-bunga iman yang sedang menjalar di sirami air tarbiyah dari Rasulullah.

Hijrahkan lah diri

Sememangnya sirah Hijrah Rasulullah benar-benar mampu menjadi tauladan buat kita. Setiap siri peristiwa yang terakam kemas dalam kisah hijrah Rasulullah mengajar betapa perlunya kita bergerak dari keburukan ke arah kebaikan. Seandainya zaman Rasulullah dahulu, baginda berhijrah kerana mencari tempat yang terbaik menyampaikan dawah serta perlindungan yang lebih selamat buat kaum Muhajirin, namun konsep hijrah untuk zaman ini tidak jauh bezanya. Kalau dahulu Baginda dan orang-orang Islam lari dari penindasan berbentuk fizikal iaitu menyekat sumber makanan, merobohkan tempat tinggal, penderaan dan pelbagai lagi bentuk penganiayaan, tapi kini masyarakat Islam juga sememangnya ditindas. Penindasan yang berlaku sekarang lebih kepada penindasan secara psikologi. Penganiayaan dalam diam. Hanya yang sedar sahaja akan sedar. Lihatlah apa yang ada pada sekeliling kita sekarang. Jangan pandang jauh, pandanglah dalam negara sendiri. Hiburan yang semakin melambak. Arak yang semakin laris. Perjudian yang semakin berkembang. Pergaulan bebas yang semakin berleluasa. Bukankah ini yang Rasulullah perjuangkan dahulu untuk menguburkan amalan jahiliyyah ini? Kalau dahulu, kali pertama Allah menurunkan ayat menyuruh muslimah menutup aurat, bertempiaran lari pulang ke rumah lantas mencapai apa sahaja yang ada bagi menutup kepala, namun kini apa yang jadi? Begitu juga dengan larangan meminum arak. Bergelimpangan botol arak dipecahkan tanda patuhnya masyarakat Quraisy pada perintah Allah melalui tarbiyah Rasulullah.

Terlalu jauh bezanya dulu dan kini. Rasulullah bermati-matian sehingga sanggup membiarkan darah menitis saat kafir Quraisy melemparkan batu tanda bencinya pada dakwah Rasulullah. Demi pertahankan semua ini. Namun, kita semua pada hari ini seakan lupa kesakitan yang telah ditanggung oleh Rasulullah dengan membiarkan diri hanyut bersama jahiliyyah tanpa apa-apa tindakan. Mengiyakan segala yang terbentang oleh tangan-tangan sekular tanpa apa-apa bangkangan. Dimana tanggungjawab kita apabila melihat kemungkaran semakin berleluasa? Berdiam diri tanpa rasa bersalah?

Hijrahkanlah diri mulai sekarang. Kalau tahun yang telah berlalu tidak banyak yang mampu kita lakukan, namun tahun yang mendatang ini, berazamlah untuk menjadi lebih baik. Jikalau Rasulullah berhijrah dengan segala persiapan yang penuh strategik sebelum berangkat ke Madinah, kita juga perlu perlu pada perancangan yang penuh dinamik. Dampingilah sahabat yang soleh, carilah bi’ah yang sejahtera. Sensitiflah diri terhadap apa yang sedang berlaku sekarang. Kerana dengan rasa sensitif itulah membangkitkan semangat kita untuk terus merubah kejahilan yang ada digantikan dengan pemurnian aqidah yang sejahtera. Tinggalkan segala larangan Allah, dan majulah ke hadapan untuk bersiap menyambut seruanNya. Sesungguhnya tiada apa yang lebih baik bagi seseorang yang hidup di bumi Allah melainkan sentiasa mencari kebaikan yang ada dan berbuat baik sesama kita. Oleh itu, berhijrahlah.

“orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan” ~At-Taubah;20

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: