..KEMBARA MENCARI PERMATA..( 1 )

by Thursday, March 05, 2009 2 comments
Berdebar rasanya sebaik kaki melangkah ke pintu masuk utama. Dalam kepala saya ligat berputar alasan apakah yang harus saya berikan pada pengawal keselamatan yang tekun menjalankan amanah pada petang itu. Tidak mungkin lah saya memberi alasan 'saje jalan-jalan'..tak logik rasanya. Saya perlu memberi alasan yang munasabah. Tapi saya tidak punyai alasan itu. Untuk berundur pulang, tidak!!! Saya harus melangkah jugak. Matlamat saya jelas, Cuma saya tidak mampu menzahirkan. Ada 'tugas' yang perlu saya jalankan di sini.

Akhirnya saya terpaksa memberi alasan yang salah dengan mengatakan tujuan saya adalah untuk bertemu dengan adik. Subhanallah. Saya terpaksa. Tiada alasan yang agak kukuh yang mampu saya berikan. Lebih-lebih lagi kawalan masuk dan keluar ke kawasan Universiti Teknologi Mara agak ketat. Risau kalau-kalau saya ditahan dan diminta nombor kad pengenalan atau apa-apa sebagai jaminan. Bimbang lebih-lebih lagi saya melihat ada dua tiga kereta yang di tahan dan sedang disoal. Hanya berdoa dalam hati.

Akhirnya alhamdulillah. Allah membantu saya. Ini peluangnya. Peluang yang tidak lagi patut saya sia-sia kan. Sudah sekian lama saya berhajat untuk ke sini mencari sesuatu. Dan hari ini Allah beri kekuatan dan kemudahan untuk saya terus melangkah dan bergerak untuk 'bekerja' . Memang dari awal, sejak keluar dari rumah lagi saya diuji dengan sedikit kesukaran apabila berhadapan dengan pandangan dan persoalan yang banyak dari orang terdekat. Alhamdulillah, Allah melemparkan idea yang agak meyakinkan untuk saya beralasan dengan apa yang akan saya lakukan...

Setelah berjaya melepasi halangan, kini fikiran saya terus berputar mencari destinasi. Kemana harus saya tuju? rasanya dua tiga kali saya melalui jalan yang sama kerana keliru. Banyak sangat lorong yang seakan-akan sama. Lagipun kawasan UiTM Dungun yang tidak berapa luas ini sudah lama tidak saya jelajahi. Kali ini rasa agak 'janggal'. Akhirnya saya mendapat idea ke mana harus saya tuju. Masjid. Ya, saya harus mula di sana. Lagipun waktu asar hampir menjemput, girang rasanya hati kerana sekian lama tidak diberi peluang berjemaah di masjid, kali ini akan saya manfaatkan bersama matlamat dan hasrat dihati yang semakin membara.

Usai solat Asar berjemaah, saya berpaling ke belakang, mencari jemaah lain yang ikut bersama dalam saf untuk bersalaman, tapi tiada siapa. Sedarlah saya rupanya hanya saya seorang saja makmun muslimah di masjid waktu itu. Fikir saya, di mana mereka-mereka yang seharusnya berjemaah di masjid? Kenapa waktu sebegini masjid harus lengang dengan ahlinya sedangkan jarak antara masjid dan penempatan pelajar bukannya jauh. Lagipun masjid yang sebegini besar dan indah dihias, tidak mungkin tidak mampu menarik muslim untuk datang meluruskan saf berjemaah. Pelbagai persoalan yang menerjah di benak fikiran saya. Agak kecewa. Persoalan itu tidak mampu saya jawab untuk meredakan kehampaan di hati.

Mathurat yang menjadi penumpang setia beg sandang saya, dicapai. Saya mula mencari kekuatan. Saya tidak harus hilang semangat hanya dengan kekecewaan sebegini. Husnul zhon. Ya, saya harus bersangka baik dengan apa yang terjadi. Mungkin Allah ingin saya lebih bersabar. Mana mungkin permata yang saya cari mudah untuk didapati. Kena gayanya saya harus korbankan apa yang saya miliki untuk dapatkan anugerah yang tidak terhingga dari Allah. Ini hanya ujian perasaan yang sememangnya menuntut kesabaran. Jalan yang saya pilih bukanlah dapat diperolehi dengan melalui jalan yang terbentangnya permaidani merah...atau hamparan salju yang memutih menenangkan fikiran. Bukan. Tapi jalan ini penuh dengan kesukaran. Kesedihan. Kerisauan. Kepedihan. Jalan yang telah Rasulullah dan para sahabat lalui. Teringat bait-bait kata Imam Hassan Al-Banna melalui ustadz Fathi Yakan dalam bukunya,
'Kemana Kita Menyeru’, menyatakan bahawa:

mereka- mereka yang 'sedar' akan hakikat perjuangan pertahankan fikrah harus mendarah dagingkan kesediaan terhadap apa yang bakal berlaku dan bersedia dengan sesuatu yang bernama PENGORBANAN.

Bila mana Nabi yang mulia itu keluar mencari hati yang sedang menanti untuk ditarbiyah. Dengan membawa segunung hasrat dihati untuk mengubah dunia yang sedang tenat, rosak dengan tangan-tangan manusia itu sendiri. Membasuh kotoran jahiliyyah yang melekat di jiwa setiap manusia. Kini setelah sekian lama Rasulullah pergi, anasir kotor itu terus merajai.malah lebih teruk lagi. sehinggakan andai ada yang tidak mengikuti perkembangan yang dibawa oleh kuasa jahiliyyah, orang itu dianggap ketinggalan zaman atau mundur. Ini lah yang Rasulullah pertahankan. Dari sifat bertuhankan dunia,dan memegang title sebagai seorang hamba nafsu, berhijrah kepada insan yang bermatlamatkan ALLAH. Tanggungjawab Rasulullah perlu diteruskan. Ini amanah yang perlu ditunaikan selagi bergelar hamba. Allah mendahulukan tugas dan tanggungjawab ini keatas RasulNya, agar menjadi contoh kepada orang mukmin supaya apabila diseru oleh Allah dan RasulNya untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan agama, maka kita hendaklah segera menyambutnya kerana seruan itu bisa menghidupkan hati dan jiwa insan. Seperti Firman Allah dalam Qalam sucinya yang bermaksud:

" wahai orang-orang yang beriman, sambutlah seruan Allah dan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang menghidupkan kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mendinding antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNya lah kamu akan dikumpulkan "~ al-Anfal: 24


Ya Allah...
Kuatkan aku...

Selesai saya mengaminkan doa bacaan mathurat, hati sedikit tenang walaupun hasrat dihati bagai tidak lagi tertunai. Rupanya tanpa sedar hampir 2 jam saya berada di sini. saya harus segera pulang. Kerana sebelum melangkah keluar tadi sempat saya membuat perjanjian untuk cepat balik. Berat rasanya ingin meninggalkan rumah Allah ini tapi saya harus akur. Berlaku adil pada diri dan orang yang mungkin sedang risaukan saya. Sedang saya bersiap-siap, tiba-tiba seseorang menyentuh bahu saya. Dia menyapa dengan memberi salam.


''Assalamu'alaikum"

Lembut suaranya. Saya berpaling. Mereka tersenyum cantik.Iya, bukan seorang tapi dihadapan saya ada dua orang muslimah bertudung labuh. Hati saya bagai berbunga riang. Tangan dihulur, diserikan dengan senyuman yang terukir ikhlas. Kami bertaaruf serba ringkas. Katanya mereka mengejar masa ke kuliah. Hanya singgah di masjid untuk berjemaah. Saya cuba manfaatkan pertemuan yang ada sebaik mungkin, walaupun sebentar tapi terasa bagai ada sesuatu yang mengikat. Saya cuba untuk terus mendekati dengan mengikat janji untuk bersua lagi. Mereka menyambut dengan penuh semangat dengan memberi nombor telefonnya tanpa sempat saya meminta. Alhamdulillah.. sekali lagi Allah memudahkan usaha saya. Saya mencari permulaan pengembaraan ini dengan satu ikatan UKHWAH. Kerana tali ukhwah yang bakal terjalin akan saya patrikan dengan aqidah dan matlamat yang kuat kerana Allah. Inilah permulaanya.

Sepanjang perjalanan pulang, tidak lekang rasanya senyuman diukir, biarlah pada pandangan sekeliling bagai saya senyum seorang diri. Hmm..yang pastinya saya akan manfaatkan ukhwah yang baru terjalin atas kehendakNya sebaik mungkin. Ini kurniaan Allah. Bisik hati saya..inilah antara permata yang saya cari. Terima kasih ya Allah..

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

2 comments:

Anonymous said...

Nice blog, keep on writing, and continue your daawah journey, may allah bless you sister...

Anonymous said...

teruskan perjuanganmu..
tegarkan serta kuatkan kakimu..
didepan sana pasti akan ada duri2 yang bersedia menusuk kakimu..

persiapkan bekal..jangan putus asa dari rahmat serta ampunanNYA..
percayalah..DIA tidak akan sia-siakan usahamu..DIA melihatmu dgn jelas hingga kedasar hatimu..
berjuanglah..teruskan langkah..
dulu..
perjuangan rasul jauh lebih berat dari kita..kita sekarang berdakwah hanya kpd yg dah tau ALLAH jer..
kita dakwah dlm keadaan kenyang..
kita dakwah naik kereta or motor..
kita dakwah diatas permadani yg empuk,d tmpt yg nyaman,xpanas..
kadang2 gunakan pengeras suara..
ada jgk yg dibayar,dpt wang..
hhmm..senang kn..??
rasul dulu berdakwah..
lapar,panas,jalan kaki or naik unta,kpd orang yg xtau islam n benci islam, tidur pun atas pelepah kurna jer..

baca kisah"lapar dlm blog sy..cuba bayangkn mcm mana dakwah nabi..

semangat yer..