Belajarlah menghargai...

by Monday, September 07, 2009 0 comments
Peritnya tekak ni. Tika air mengalir membasahi kerongkong, terasa pedih. Makanpun hanya mampu ditelan sikit-sikit. Sakit. Subhanallah. Sudah tiga hari saya diuji dengan sedikit kesakitan. Dan tiga hari jugaklah saya tiba-tiba menjadi agak pendiam. Mana tidaknya, suara tidak mampu saya keluarkan. Kalau dipaksa bercakap kuat sekalipun, hanya angin yang keluar, intonasi perkataan yang keluarpun, kedengaran tidak sempurna. Makin dipaksa, makin sakit terasa. Perit. Subhanallah.

Pernah suatu saat dalam tempoh kesakitan saya itu, saya terasa kekosongan jiwa. Lantas dicapainya al-Quran. Moga-moga meredakan kegelisahan yang sering hadir sejak kebelakangan ini. Saya cuba mengalunkan baris-baris indah Qalamullah untuk menyejukkan jiwa nan resah. Namun, tiada apa kedengaran dari mulut saya..saya sebak. Mana suara saya? Ya Allah..hati saya berbisik,”mungkin ini balasan Allah atas kelekaanku dalam menjaga kurniaan Allah yang berharga ini”. Saya memaksa jugak untuk mengeluarkan suara, namun yang kedengaran hanya suara kasar yang tersekat-sekat antara keluar dan tidak. Pastinya bacaan saya itu tidak tepat. Lari sebutan dan makhrajnya. Akhirnya saya hanya mampu membaca tanpa suara. Dan pastinya saya tidak merasa puas membaca quran tanpa mendengar alunan suara sendiri.

Keadaan yang menimpa diri membuatkan saya merasa betapa berharganya anugerah Allah. Saya tidak mampu membayangkan andai satu saat saya betul-betul kehilangan nikmat itu. Itu hanya sedikit ujian kesakitan, belum lagi Allah uji dengan kesakitan anggota lain. Subhanallah. Bila jadi ujian sebegini, pastinya kita sebagai insan yang serba kekurangan tanpa sedar dan tersirat, akan mula mempersoalkan "kenapa aku ditimpa semua ini? Tidak cukupkah apa yang aku lakukan?”

“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat) dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)”~An-Nisa’:79

Ya..pasti ada yang belum cukup. Jelas maksud Qalam Allah “apa jua bencana yang menimpamu, maka ia adalah dari kesalahan dirimu sendiri”. Mungkin selama hidup kita, belum cukup amal yang kita lakukan dengan menggunakan nikmat yang Allah kurniakan. Sedangkan segala yang Allah kurniakan semuanya mempunyai tujuan. Jangan lihat nikmat yang tersirat. Lihatlah nikmat zahir yang Allah kurniakan. Berapa kali kita menggunakan mata mendonggak kelangit, merenung indahnya langit yang terlakar seni agungnya kuasa Allah, disaat malam tiba..terbit bintang gemerlapan dan bulan yang tergantung bukti kebesaranNya. Berapa kali? Saat awan bergerak laju, menghirup wap dari laut sehingga sarat ‘mengandungkan’ air, lantas mencurah-curah hujan yang akhirnya bermanfaat untuk alam dan segala macam makluk yang melata di bumi. Dari air itulah, sebiji benih bisa bercambah, tumbuh lantas mengeluarkan putik, dari putik itulah mekar sekuntum bunga yang pelbagai warna dan bentuk, semerbak harum memancarkan bau-bauan aroma menyapa deria hidung. Subhanallah. Berapa kalikah kita merenung setiap kejadian alam, yang kadangkala tidak tercapai akal kita untuk kita berfikir lantaran maha kerdilnya kita sebagai insan yang serba dhaif.

Tanyalah pada diri lagi, sudah cukupkah amal yang dilakukan oleh mulut kita. Sehari-hari dalam hembus nafas kita, berapa patah kata yang keluar dari hati lantas dizahirkan oleh mulut melalui kerongkong yang bermanfaat untuk kita dan melontarkan kata-kata yang berbekas pada jiwa siapapun yang mendengar dan semuanya pasti bisa menjadi amal bekalan untuk kita? Atau, berapa banyak lembaran Qalam Allah yang telah kita ucapkan melalui mulut kurniaanNya ini yang setiap patah perkataan yang kita ucapkan pasti diberi ganjaran besar oleh Allah? Apapun jua yang kita masukkan di mulut kita, yang sememangnya menjadi darah daging, pastikah ianya diberkati Allah, atau kita sekadar masukkan segalanya dengan pimpinan nafsu dan keinginan tanpa menimbang halal dan haram?

Persoalkanlah pada nikmat pendengaran yang maha bermakna yang Allah kurniakan. Apa yang telah kita perdengarkan sehari-harian? Adakah kata-kata indah nasihat seorang teman atau umpat dan caci? Berapa kali kita betul-betul menghayati bunyi gemersiknya suara alunan dari Qalam Allah sebagai tanda ingatan Allah buat hambaNya yang leka? Atau kita sentiasa penuhkan ruang telinga dengan muzik dan getaran yang membingitkan rasa dan meresahkan jiwa?

Dan tanyalah lagi apa yang telah kita berbuat dengan anggota tangan dan kaki kita. Ke mana langkah kita sehari-harian? Langkah yang diatur yang terbit dari niat yang ikhlas dalam mendamba keredhaanNya dalam setiap langkah yang pastinya akan diberi ganjaran. Namun, bagaimana langkah yang diatur kearah maksiat kepada Allah? tangan yang dicipta sesempurna mungkin yang bisa melakukan apapun, kemana kita hayunkan? Kita berusaha mengangkat tangan untuk meringankan beban orang lain atau menggunakan tangan untuk menambahkan lagi beban mereka? Menggunakan kekuatan jari dan kehalusan sentuhan kita dengan meredakan keresahan insan-insan yang memerlukan atau mengasari dan melukakan mereka tanpa keredhaan Allah?

semuanya menuntut untuk kita duduk sebentar dan merenung atas setiap tindakan yang telah kita lakukan pada setiap nikmat dan kurniaan yang Allah anugerahkan. Dan satu perkara yang tidak boleh kita lupa, kemana tujuan dan dimana haluan nikmat yang akan kita gunakan, ditadbir oleh sesuatu yang dimiliki oleh setiap insane iaitu hati. Hatilah yang mengawal segalanya. Baik burut sesuatu tindakan tidak dimulakan dengan gerak langkah anggota, tetapi dikawal selia sepenuhnya oleh hati. Mata yang melihat, belum tentu dapat ‘melihat’ andai bukan dengan mata hati. Dan mulut yang mengucap tidak akan mampu terucap andai tidak dituntun dengan rasa hati. Begitu juga dengan tindak anggota tangan dan kaki. Tidak akan melangkah kaki, dan tidak akan terhayun tangan, andai bukan atas keinginan hati. Semuanya di tadbir oleh seketul daging yang bernama ‘hati’ yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan.

Itu baru nikmat fizikal yang Allah anugerahkan. Bagaimana pula dengan nikmat yang tersirat dan sukar ditafsir? Nikmat kasih sayang umpamanya. Cuba Tanya diri sekali lagi, adakah kita merasa bahagia bersama dengan orang-orang yang ditakdirkan untuk kita. Tidak kiralah sama ada pasangan suami atau isteri, keluarga mahupun sahabat. Kita sering inginkan kesempurnaan pada mereka, padahal kita lupa mereka-merekalah adalah antara nikmat yang Allah sediakan tanpa kita sedar. Begitu juga dengan nikmat rezeki yang melimpah ruah tanpa kita sedar dan sering beranggapan rezeki itu masih belum cukup jika dibandingkan dengan orang lain. Subhanallah. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Setiap apa yang Allah kurniakan dalam kehidupan kita semuanya bermanfaat. Cuma ianya menuntut kesedaran kita untuk menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang terbaik dan paling diredhaiNya. Alangkah beruntungnya mereka-mereka yang sedar akan hakikat kurniaan Allah buat mereka, lantas menggunakan semua itu ke arah mencari keredhaan Allah. Dunia sekarang yang banyak menutut manusia memenuhi keinginan dan hawa, menyebabkan ramai di antara hambaNya yang tersilap panduan dalam menggunakan nikmat Allah sebaik mungkin. Lantas, tersasarlah jalan, tempanglah tindakan.

Hayatilah setiap kejadian dan nikmatNya, lantas dapat menempatkan kita sebagai orang-orang yang berakal seperti yang dijelaskan dalam firmanNya:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."~ Ali- Imran:190-191.

Hargailah apa yang Allah kurniakan sebaik mungkin kerana kita mungkin akan merasa kehadiran nikmat setelah kita kehilangannya. Bersyukurlah dengan nikmat terbesar buat kita yang Allah anugerahkan tanda kasih sayangNya iaitu nikmat IMAN dan ISLAM.

Wallahualam.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: