Bukan semudah berkata-kata...

by Friday, November 26, 2010 0 comments
Tut tutt…..

Telefon di atas meja tulis bergetar diiringi lagu Ketika Cinta Bertasbih….

Ain bingkas bangun dari katil. Novel Salahuddin Al-Ayyubi yang dibacanya diletakkan ke tepi. Dia mencapai telefon dan mengamati apa yang tertera di skrin.

“1 new message received

“ Akak, cepat update blog..kalau tak, tak nak kawan, huh! “

Dia tergelak kecil. Lucu membaca mesej amaran berbau gurauan dari seorang kenalan.

‘Blog? Hmm….’ Dia mengomel sendiri bila diingatkan tentang blognya. Entah kenapa bila teringatkan tempat curahan rasa dan perkongsian ilmu itu, serta merta semangatnya menurun. Dah lama dia tak menjenguk lama-lama ke lamannya sendiri. Sebulan lebih dia belum ‘update’ apa-apa di situ. Kalau singgah pun hanya membalas komen dan teguran di chatbox. Bukan dia tidak berusaha untuk mengemaskinikan isi kandungan di blognya, namun setiap kali dia cuba untuk melakukan sesuatu, pasti akan ada bisikan-bisikan yang cuba menyelinap masuk ke ruang fikirannya sehingga akhirnya penulisan yang diisi hanya tersimpan di drafnya sahaja.

Pernah dia koreksi diri, muhasabah sebentar untuk mendapatkan segugus semangat untuk dia menyampaikan seruan kebaikan melalui penulisan. Pernah juga dia menjelajah ke pelusuk alam maya menyinggah ke blog-blog dan laman murabbi dan murabbiah untuk mencuri sedikit nasihat untuk diterjemahkan dengan istiqamah. Pernah juga dia mengadu pada sahabat-sahabatnya bila perasaanya dilanda rasa was-was dan ketidakyakinan dalam menyampaikan kata-kata hikmah.

“Masalah bisikan2 ni tak boleh dibiarkan, kena dilawan, kelak membawa futur. Ubatnya baca ta'awudz ketika mula menulis, dan publishkan aje...beramal kerana manusia dan meninggalkan amal kerana manusia keduanya adalah ria'”

Dia teringat kembali kata-kata nasihat teman-temannya. Beramal kerana manusia, insyaAllah dia tidak memusatkan tujuan amalnya ke situ, dan meninggalkan amal kerana manusia, mungkin ini yang menganggu konsentrasinya dalam merungkai kata.

“Ukhti kena kuatkan semangat, lawan perasaan tu. Cuba tengok di internet, terlalu banyak penulisan-penulisan picisan yang tak bermoral dan melalaikan pembaca. Penulisan macam tu terlalu banyak, bermakna mereka yang menulisnya seperti tiada kekangan. Sebab syaitan suka yangmacam tu. Tapi bila kita nak sampaikan kebaikan, bisikan-bisikan tu kita kena lawan, sebab itu agenda syaitan. "

Dia terus koreksi diri dengan ungkapan kata-kata semangat dari sahabatnya. Dia menongkat dagu sambil menutur dihati, bermonolog sendiri.

‘Bisikan syaitan adalah lumrah. Sampai kiamat pun dia tak akan pernah mengalah dengan manusia. Itu janjinya’

Ain mencapai naskah tafsir Quran yang tersusun kemas terselit diantara novel-novel yang ada. Dia teringat akan satu ayat pengakuan syaitan terhadap perlakuan jahatnya kepada manusia. Surah Ibrahim ayat 22 ditadabburnya perlahan-lahan. Moga terkesan pada hatinya yang diselaputi rasa ragu-ragu.

“..dan syaitan berkata ketika perkara hisab telah diselesaikan. ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikanku janji yang benar, dan akupun telah menjanjikanmu tetapi aku telah menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh kerana itu jangan kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu dan kamu juga tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu’. Sungguh orang yang zalim mendapat siksaan yang pedih "

Ya, sampai bila-bila pun syaitan tak akan pernah rasa jemu menanam rasa ragu-ragu dan curiga dalam hati manusia. Ain cuba mentafsir disetiap ketentuan yang ada dengan mata hati, biarpun entah berapa kali dia cuba mencapai satu kekuatan untuk melawan rasa disebalik ujian yang menghalang usahanya. Dipaksa-paksa hatinya supaya merenung untuk mencapai satu tahap kekuatan yang tidak lagi membolak-balikkan hatinya setelah ini. Namun, dia perlu terima hakikat walaupun sekukuh mana benteng yang dia cuba bina dalam hati setelah ini, syaitan tetap syaitan. Selagi mana agendanya untuk menggagalkan usaha manusia masih belum menampakkan tanda-tanda kejayaan, selagi itu dia berusaha.

‘Biarkan syaitan dengan agendanya, dan aku teruskan dengan agendaku. Menyampaikan peringatan dengan pena. Mengharap pukulan pada hati agar terkesan pada tindakan, buat diri sendiri dan orang yang menghayati'

Ya, bukan semudah berkata. Hakikatnya terlalu susah. Sukar benar mencari kekuatan untuk menyentuh ke dasar hati yang paling dalam. Menjentik nurani menyucuk naluri. Agar hati-hati itu tersentak antara hakikat dan khayalan.

Bagai disuruh-suruh, Ain bingkas bangun, menekan butang ‘on’ pada laptopnya. Kekuatannya bagai di cas kembali bila ingatannya pada tanggungjawab yang belum dia laksanakan sehabisnya lagi. Dia tidak mahu mengalah dan tunduk pada arahan si syaitan yang sentiasa membisikkan kata-kata indah yang hanya enak pada nafsu, tapi jauh pada redha. Dia harus melawannya semampu mungkin, agar nanti dia bersedia dengan satu jawapan apabila ditanya di Mahsyar, sudahkah dia menyeru ke arah kebaikan atau belum. Sekurang-kurangnya dia ada ungkapan itu. Berjaya atau tidak, biarlah tinggal di tanggal ke dua, namun semangatnya untuk terus menyeru menjadi fokusnya yang utama. Harapannya besar pada yang menghayati setiap bait seruan. Moga mata yang melihat, dan akal yang mentafsir, pada setiap perkataan yang terluah, mampu menyentuh ke dasar hati yang paling dalam.

Ain menggerakkan jarinya. Laju menekan-nekan butang berhuruf. Bersimpul dengan rasa ikhlas, dan hati yang membisikkan ta’awudz, dia bermain dengan rasa, menghurai makna dan menterjemahkan dengan ungkapan. Dia menyulam cinta pada jalan kebaikan pada satu bait kata….

Aku ingin mewakafkan diri….
pada jalan yang tenat dengan hembusan keji..
terlekat pada hati yang jauh dari Rabbi…
Aku bertanya pada diri…
Inginkah engkau melihat syaitan itu bersorak?
Riangnya pada tundukkanmu?
Dan rebahnya pendirianmu…sedang itu kekuatannya…
Biar apapun gelombang rasa yang datang menghancurkan tembok iman..
Lawan lah dengan kekuatan yang ada..
Kerana inilah jalan juangmu…
Walau bukan semudah berkata-kata.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: