Krisis Akhlak Dan Moral: Kita sering 'menerima'

by Friday, December 03, 2010 0 comments
Kepada sesiapa yang mempunya rasa peduli terhadap masalah ummat, pasti akan merasai kerisauan bila melihat ketempangan tindakan remaja dan belia yang menyumbang kepada peningkatan krisis akhlak dan moral masyarakat sekarang. Daripada penglibatan kepada permasalahan yang serius seperti penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, pecah rumah, penzinaan, merompak, dan sebagainya kepada masalah yang biasa pada norma masyarakat . Kerisauan akan dirasai pada mereka yang menyedari bahawa nasib dan masa depan masyarakat akan datang bergantung kepada belia yang ada sekarang. Sesungguhnya remaja dan belia yang ada sekarang adalah cerminan negara akan datang.

Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya seakan sesuai andai dikiaskan pada didikan remaja dan belia yang ada sekarang. Peribahasa itu bukanlah hanya sesuai kepada keadaan anak-anak yang berada dalam didikan ibu bapa. Tetapi sangat sesuai ditujukan buat pewaris kepada sesuatu generasi. Seperti sepohon pokok, siapa yang mampu menjamin jangka hayat sepohon pokok yang mempunyai akar yang kuat namun tidak berdaun dan berbuah dengan baik. Sedangkan daun dan buah itulah hasil yang akan menjamin masa depan sesebuah tanaman. Begitu juga masa depan masyarakat kita yang ada. Melihat kepada peningkatan masalah keruntuhan akhlak remaja dan belia yang ada sekarang, seakan memberi satu keluhan berat buat mereka yang prihatin. Pelbagai program dan tindakan dilakukan bagi melentur buluh agar lurus dengan baik, namun hari ini, semakin di lentur semakin membengkok.

Kekuatan sepohon pokok harus dikuatkan pada akarnya. Kerana di situlah punca tenaga dan kekuatan yang sebenarnya. Apabila akar di beri sumber air dan baja yang berkualiti, maka akan tumbuhlah dengan baik ditambah dengan pengcahayaan yang sepatutnya. Namun andai tidak diberi air yang cukup dan baja yang tidak berkualiti, pasti suatu ketika pokok akan mati apatah lagi untuk mengeluarkan daun dan buah yang baik. Begitu juga didikan dalam masyarakat, apa yang disuapkan kepada masyarakat sekarang, itulah tenaga,baja dan cahaya bagi pembentukan generasi akan datang. Andai dilihat pada hari ini, remaja dan belia didedahkan dengan pelbagai anasir. Globalisasi dan dunia tanpa sempadan member peluang penerokaan yang luas kepada mereka. Segalanya di hujung jari. Tekan satu butang, segalanya akan diperolehi tanpa disekat. Namun yang menjadi masalah bila penerokaan tanpa kawalan memungkinkan anasir negatif lebih banyak masuk berbanding positif. Pengaruh pemikiran akan diterjemahkan dengan tindakan. Kerana pembentukan pemikiran manusia dipengaruhi dengan apa yang dilihat, didengar dan dibaca. Kalau dikiaskan dengan sepohon pokok tadi, penerokaan dalam ruang lingkup dunia tanpa sempadan, itulah bajanya, yang bakal memberi tumbesaran kepada pemikiran dan tingkahlaku seseorang.

Fenomena itu dilihat dari segi penerokaan dunia tanpa sempadan, belum lagi dilihat dari aspek lain yang menjadi penyumbang pembentukan tingkahlaku dan kognitif belia dan remaja sekarang. Institusi keluarga satu lagi penyumbang terbesar kepada perkembangan sahsiah. Tempat mula-mula tumbuhnya benih. Andai disiram dengan air yang datang dari sumber yang baik, maka akan lahirlah anak-anak yang akhirnya menjadi remaja dan belia yang dibesarkan dengan baik. Di sini peranan ibu bapa sangat mempengaruhi tumbesaran dan sahsiah. Namun, andai ibu bapa sendiri tidak mempuanyai rasa tanggungjawab untuk mendidik benih yang mereka semai dengan baik, mana mungkin akan membesar dengan baik? Asasnya, perlu dimulakan di rumah.

Remaja dan belia harus punyai prinsip hidup sendiri. Sebagai panduan hidup dan halatuju mencapai matlamat dalam sebuah kehidupan. Namun, alangkah baiknya kalau prinsip itu disandarkan pada agama. Pegangan agama akan menjurus tingkahlaku yang lebih harmoni. Bila dilihat kepada permasalahan dan krisis akhlak yang ada, mereka yang terlibat sememangnya tidak berpegang pada satu prinsip yang kuat namun agama telah memberi satu pencerahan yang jelas kepada setiap permasalahan. Selalunya, krisis akhlak dan moral terjadi apabila kecelaruan antara kehendak dan keperluan. Seorang wanita contohnya mempunyai keinginan untuk kelihatan cantik. Namun andai tidak dipandu dengan agama, mengikut nafsu sehingga mengeksploitasi diri tanpa mengenal halal dan haram, maka akan jadilah dia seorang yang cantik mengikut kehendak isi dunia yang tidak pernah bertepi, tanpa mengambil kira batasan syariat. Tinggal lah dia sebagai seorang yang hidup atas kehendak dunia, bukan kehendak hakiki. Sedang agama sangat penting dalam pembentukan sahsiah ibarat sumber cahaya kepada tumbesaran sepohon pokok.

Perlu ada rasa peduli.

Meninjau-ninjau kehidupan remaja dan belia sekarang di lama-laman social seperti Facebook, Twitter, blog, dan sebagainya memberi gambaran sebenar keadaan mereka hari ini. Perlakuan, tuturkata, pergaulan, pemikiran, menggambarkan keinginan dan kehendak mereka. Mereka yang mempunyai rasa kebertanggungjawapan terhadap sahsiahdan pemurnian akhlak remaja dan belia, akan merasa risau terhadap apa yang dipamerkan. Rasa peduli harus ada pada kita sebagai pemerati ibarat sepohon pokok yang perlu dijaga dan dipelihara. Bukan hanya melihat tetapi harus cuba membuang anasir yang cuba merosakkannya.

Kita sering ‘menerima’.

Salah satu punca penyumbang kepada kerosakan akhlak dan moral dikalangan remaja dan belia hari ini yang jarang di sedari oleh masyarakat adalah penerimaan kita terhadap perlakuan mereka. Sebab kita tanpa sedar menerima kerana itu adalah sesuatu yang dilihat normal. Contohnya fenomena pergaulan bebas. Andai satu ketika dahulu ibu bapa mengawal anak gadis tidak boleh keluar waktu malam, tapi hari ini keluar dan balik lewat malam adalah perkara biasa bagi sesetengah ibu bapa. Katanya, remaja sekarang harus lebih social kalau tidak akan ketinggalan zaman. Fenomena mengandung luar nikah, dianggap satu kesan yang normal akibat dari penzinaan dan masyarakat sekarang dilihat ianya bukan lagi suatu yang serius dan luar biasa malah menerima sehingga wujud sekolah dan tempat-tempat khas untuk mereka. Fenomena pergaulan bebas dianggap satu perkara yang jarang diambil serius sekarang. Kalau ditanya kepada remaja dan belia yang ada, berpegangan tangan dan berpelukan suatu yang normal bagi pasangan yang belum berkahwin, malah mereka yang kontra perlakuannya pula, dianggap tidak ‘up to date’ .
Apabila meninjau laman sosial facebook pula, kalau kita perhatikan, ramai yang memuat turun gambar dan video yang pada asasnya untuk dijadikan bahan jenaka namun tidak mengambil kira sensitiviti agama apabila gambar yang dimuat turun itu terang-terangan mendedahkan aurat. Namun, kerana nilai jenaka yang dibawa, tenggelam rasa sensitifnya pada nilai agama. Kerana faktor ‘kita menerima’ menjadikan perkara yang seharusnya dianggap serius, tidak menjadi satu yang serius malah dianggap harus berlaku dalam dunia sekarang. Perkara luar biasa bila dianggap biasa, akan kelihatan biasa dan harus berlaku kerana minda kita telah menerima, bukan lagi menolak.

Perkara ini mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak, namun sebenarnya perkara remeh inilah penyumbang kepada sahsiah remaja dan belia yang sedang bergelut dengan dunia yang serba mencabar ini. Remaja dan belia harus berprinsip dengan prinsip yang kuat untuk ‘menjaga diri. Bukanlah prinsip mengikut keinginan sehingga ‘memusnahkan diri’. Kerana prinsip itulah yang akan menghalang segala anasir apapun yang datang. Perkembangan pemikiran yang tindakan sememangnya sangat dipengaruhi oleh apa yang kita dengar, apa yang kita baca, dan apa yang kita lihat. Nilai sensitiviti kita sebagai ahli masyarakat juga harus di’upgrade. Seandainya sepohon pokok itu perlukan air, baja ,cahaya dan pemerhatian, keempat-empat sumber kekuatan itu ada pada kita. Seandainya kita inginkan generasi pewaris yang baik, mulakan dengan diri. Pandang orang-orang yang terdekat, didik dan ubahlah selurus mungkin. Kerana kitalah cerminan masa depan masyarakat.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: