Kami tak buat apa-apapun kak...

by Tuesday, March 15, 2011 4 comments

Dua hari lalu, sekitar jam 12.15 tengah malam saya dan seorang kawan berjalan pulang ke bilik penginapan kerana menghadiri satu program di Dewan Bukit Kachi, UUM. Seharusnya saya pulang lebih awal dari itu kerana program tamat sekitar jam 11.30 malam, tapi kerana tertarik dengan buku-buku yang dijual, masa berlalu seakan tidak sedar. Berjalan beriringan mendaki cerunan bukit Kachi sambil menikmati keindahan malam dengan bintang-bintang bertaburan indah di dada langit, satu suasana yang cukup indah dirasakan. Namun sewaktu melangkah untuk masuk ke blok, kami serentak terdengar suara-suara orang bercakap, lantas terpandang di satu sudut tempat yang agak gelap.

“ Akak nampak apa yang saya nampak? ”

“Ya” Jawab saya yag sedang melihat dari mana suara itu datang.

Kami melihat sepasang manusia sedang bergurau mesra di atas kerusi batu di satu sudut menghadap padang. Di sebalik biasan cahaya bulan, jelas kelihatan samar-samar seorang lelaki dan seorang perempuan yang bertudung. Kedudukan mereka sangat rapat. Tangan si lelaki memeluk rapat bahu perempuan itu. Darah saya menyirap.

“MasyaAllah..diorang nii”

Saya melihat jam. Dah hampir pagi, masih ada yang bermesra tanpa hirau gelap.

Fikiran saya berputar ligat. Apa yang harus saya lakukan? Kalau saya ke sana, apa yang harus saya katakan pada mereka? Kalau dimarahi lagi bagaimana?

“Ahh…biarlah apapun berlaku” Saya menjawab sendiri sambil berhenti berjalan.

“Kenapa kak ?” Terkejut dengan tindakan saya mungkin.

“Jom, teman akak..kita ke sana” Saya menarik tangan kawan di sebelah. Berjalan menuju ke tempat pasangan yang sedang asyik bergurau tanpa sedar kehadiran kami.

“Assalamu’alaikum…”

Terkejut dengan kehadiran kami, si lelaki melarikan tangannya dari bahu perempuan di sebelahnya.

“Maaf kalau akak menegur..sekarang dah lewat malam. ..macam tak elok la duduk macam ni, gelap dan sunyi..Kalau ada hal penting yang sedang dibincangkan, baik kalau ke tempat yang lebih cerah sikit atau esok sahaja sambung perbincangan” Saya mengatur perkataan. Cuba untuk sehikmah mungkin.

“ Oh, ok. Kami bukannya buat apa-apapun kak…kami just sembang-sembang je. Sambil makan-makan” jawab si perempuan yang nampak manis bertudung.

“Ya, ok, kami beredar sekarang..terima kasih kak” jawab si lelaki pula.

Kami sempat bertukar senyum. Lantas kami berdua beredar menuju ke bilik. Terasa ringan di bahu yang tadi bagai ada beban.

Teringat satu ketika, sekitar dua tahun yang lalu, semalaman dengan perasaan yang berat dan tidur dalam keadaan rasa bersalah pada diri sendiri berikutan tidak menegur pasangan yang berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan selepas pulang dari kelas malam. Waktu itu keimanan dan kekuatan tidak membantu diri untuk menegur. Akhirnya pulang ke bilik dengan satu perasaan yang berat bagai ada beban.

Waktu melihat mereka berdua bermesra, perbagai persoalan timbul di kepala dan yang paling merisaukan, sekiranya dimarahi lagi bagaimana? Kerana malam sebelumnya pernah berlaku di mana saya dimarahi kerana menegurnya untuk tidak berdua-duaan di tempat sunyi dan gelap. Si lelaki bertindak tegas dan berani memarahi saya yang menegur.

“Kamu ni siapa? Badan pencegah maksiat? Ada pas keahlian tak?”

“Saya bukan siapa-siapa, tapi saya seorang Islam sama seperti kamu, yang akan menegur kalau ada apa yang tidak kena pada pandangan mata agama..dan menjadi tanggungjawab saya untuk menegur sebab saya melihat” Tegas saya pula.

“Oh, ok..terima kasihlah ..yang penting kami tahu apa yang kami buat..tak ganggu awak dan tak ganggu orang lain.. Terima kasih sekali lagi. Nanti kami beredar” Tegas juga si perempuan dengan kata-kata yang agak sinis.

Saya pulang dengan beribu rasa yang bermain-main di fikiran. Agak terasa apabila dimarahi. Namun, dipujuk hati sendiri bahawa bukan mudah menegakkan kebenaran. Walaupun kesannya menyakitkan hati, lebih baik dari terasa beban sekiranya membiarkan tanpa teguran.

Saya terfikir, adakah waktu itu saya menegurnya dengan keadaan mereka ‘tidak bersalah’? Tidak. Keadaan mereka betul-betul mendatangkan syak. Di tempat gelap dan sunyi. Waktu itupun dah lewat malam. Jadi tindakan saya, tidak salah.

Merenung kembali kisah-kisah yang pernah saya lalui dalam usaha menegur tindakan mereka yang tidak baik dan menghampiri kemungkaran, saya terfikir, kenapa Allah memberi banyak peluang kepada saya untuk bertembung dengan pasangan yang berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah? Kalau bukan untuk saya mengambil pengajaran dan tindakan, apa lagi maksud Allah? Jadi alangkah rasa bersalahnya seandainya saya hanya membiarkan tanpa tindakan.

Teringat akan hadist Rasulullah SAW yang menyebut:

Daripada Abu Said r.a katanya :

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Siapa yang melihat dan (mengetahui) sebarang perbuatan mungkar, maka hendaklah diubahnya dengan tangannya (kuasanya), jika sekirannya tidak berkemampuan maka ubahlah dengan lidahnya dan jika sekiranya tidak mampu juga maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” – Muslim

Mungkin ada yang berpendapat:

‘ Tegur sajalah dengan hati..kita tak ada kuasa’

Menggunakan medium hati untuk membenci kemungkaran yang terlihat adalah jalan terakhir selepas perlakuan dengan kuasa dan dengan lisannya iaitu teguran. Namun sampai bila harus menggunakan selemah-lemah iman, sedangkan teguran dengan perbuatan dan lisan belum lagi kita gunakan? Apakah perlu mendapatkan bukti kelulusan daripada mana-mana badan pencegah baru terasa ada kekuatan untuk menegur? Kalau tak ada cukuplah sekadar di hati?

Pada saya, tindakan menegur itu bukanlah untuk pasangan atau untuk mereka yang sedang melakukan kemungkaran, tapi hakikatnya juga untuk yang menegur. Sebagai pengajaran yang berharga atas kemungkaran yang dilihat. Pastinya bukan mudah untuk menegur, kerana setelah menegur kita secara tersiratnya menanam satu perjanjian bahawa kita membenci kemungkaran yang dilakukan serta tidak akan melakukan seperti apa yang terlihat. Tidak patut orang yang menegur akan melakukan hal kemungkaran yang sama suatu ketika nanti. Nauzubillah.

Satu perkara yang penting dalam situasi menegur kemungkaran bukan dengan hati tapi dengan lisan adalah untuk menanam budaya sensitif dikalangan masyarakat. Kalau kita hanya menegur diam-diam di hati, mereka yang terlibat melihat apa yang dilakukan ‘dibenarkan’ oleh kita yang melihat keran tidak menegur dan merasakan itu satu kesalahan walaupun hakikatnya kita membenci perbutan mereka dengan hati. Oleh itu, penting juga kebencian kepada maksiat dan kemungkaran harus dizahirkan. Biar mereka tahu, perbuatan itu salah dan masih ada orang yang sudi menegur perbuatan mereka yang mungkin pada mereka itu bukanlah perbuatan yang salah.

Satu persoalan yang mungkin bermain-main di fikiran kita dalam usaha untuk menegur ialah, apa yang seharusnya kita perkatakan pada mereka? Nak tegur macam mana? Teguran perlulah kreatif dan berhikmah membina ungkapan. Biar mereka tidak terasa hati dan memberi rasa pada mereka bahawa teguran kita tiada kepentingan lain semata-mata untuk membetulkan kesalahan tindakan mereka.

‘Tapi kalau lepas itu mereka berdua-duaan mengulangi perbuatan itu lagi, bagaimana?’

Persoalan itu mungkin bermain-main difikiran menjadikan kita teragak-agak untuk menegur kemungkaran. Pada saya, persoalan ini harus dikemudiankan, yang lebih penting adalah kita sudah menegur atau belum? Kerana hidayah itu hak Allah. Berjaya atau tidak biarlah tinggal di tangga kedua. Kerana kita sebagai orang yang melihat, harus bertindak dengan segala kemampuan yang ada pada waktu itu.

Sungguh, syaitan itu kreatif. Dia pasti akan berusaha dan mendatangi manusia dari kiri dan kanan serta depan dan belakang sehingga terlihat sesuatu perbuatan itu indah biarpun menghampiri kemungkaran. Dia cuba untuk memperdayakan manusia sehingga perbuatan mungkar itu tidak dirasakan salah bagi sesetengah orang yang sedang dibuai perasaan . Orang yang melihat kemungkaran juga tidak terkecuali dari terkena tempias kekreatifan syaitan. Pasti dibolak-balikkan hati dalam usaha kita untuk menegur kemungkaran yang jelas terlihat didepan mata.
Wallahu'alam.

‘Oh syaitan..seandainya kamu punyai agenda untuk meramaikan pengikutmu..akan kukerahkan anggotaku untuk berusaha menghancurkan agendamu dengan segenap kemampuanku..InsyaAllah.’

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

4 comments:

hannan said...

memberi teguran yg tdk sinis,tdk kasar,tdk angkuh.btul x?dkwah yg berseni.brulah ada rasa yg akn menyerap masuk ke dlm hati2 merka.smg Allah berikn hidayah kpd mrk ntk jauhi perkara2 mgkar.

.::aiNi::. said...

to Hannan...

ye,betul....serulah dgn ungkapan yang baik..dari hati, moga mampu sampai ke hati..InsyaAllah.

syukran dik atas ziarah..:)

Anonymous said...

cantik isinya.. terkesan sungguh di hati.. terima kasih..benarkn sy berkongsi sedikit ya..

"Selagi tak berlaku empat perkara ini, adalah tidak patut kita berputus asa dalam memberikan teguran.

1. Kamu mati.

2. Dia mati.

3. Matahari terbit dari barat.

4. Dia berubah."

semoga Allah sentiasa memberikn kekuatan kepada kita semua.. insyaAllah..

.::aiNi::. said...

Terima kasih atas perkongsian. InsyaAllah