Kita Hanya Hamba

by Thursday, August 18, 2011 0 comments

Seorang hamba kepada seorang tuan yang kaya raya, yang miliki kemewahan dunia, sangat patuh pada perintah. Pantang tuannya mengarah, lantas dia bangun biar bagaimanapun situasinya ketika itu. Hambanya itu akur, dan tidak membantah, kerana dia sedar, dia cuma hamba yang dibayar gaji oleh tuannya. Jadi tugasnya adalah berkhidmat untuk tuannya. Patuh segala arahan, tunduk pada segala larangan. Jika sebelum masuk bekerja sebagai hamba, dia sedar bahawa dia harus tahu apa yang boleh dia lakukan, dan apa yang tidak boleh dia lakukan. Dia harus sedar akan itu. Dan dia harus berhati-hati.

Saat itu ketaatannya harus berpusat pada tuannya sahaja. Apapun yang diminta oleh tuannya, dia berazam untuk penuhi. Biarpun kadangkala, tanpa minta dari tuannya, dia sudah sediakan. Dengan harapan, biar sayang tuannya tertumpah juga buatnya yang memberi khidmat terbaik. Jika tidak lakukan kerja yang diminta, habuannya kelak pasti tidak akan diperolehi malah murka tuannya yang akan dia dapat.

Itu kisah seorang hamba..

Bagai mana pula dengan kita?

Kita bukan hamba?

Hakikatnya, kitalah seorang hamba yang sebenar-benarnya hamba.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku”. (Az-Zariyat: 56)

Siapa yang tidak mengaku sebagai hamba Allah? Kalau ditanya muslim yang ada, semuanya mengaku diri sebagai hamba-Nya.

Tapi dalam pengakuan itu, berapa ramai yang berusaha menjadi hamba yang sebenar-benarnya hamba? Mempunyai rasa patuh kepada perintah Allah? Lihat sahaja isu biasa dikontroversikan. Bilamana Allah menyuruh muslim menjaga solat dan menutup aurat, macam-macam alasan yang ada. Sehingga macam-macam ’defence mechanism’ yang keluar.

"ala, yang pakai tudung tu pun bukannya baik pun”

"yang solat tu pun, buat dosa jugak”

Soal baik atau tak, itu nombor dua..yang utama, kepatuhan kita.

Kalau la kita seorang hamba kepada manusia, ketidakpatuhan kita pada suruhan tuan, akan membuatkan kita rugi. Tiada upah, tiada gaji. Tapi kenapa kita tak terasa pun rugi bila kita tak patuhi suruhan Allah, Tuan sekelian alam? Mungkin sebab kita tak terasa pun bahawa kita ni hamba, kan? Sebabnya, kita buat atau tak suruhan Allah, Allah tetap memberi. Celik sahaja mata di awal pagi, kita masih berpeluang menghirup udara segar, merasa bahagia dengan keluarga, sedangkan hari itu kita bangun tanpa dimulakan dengan solat subuh, dan menghabiskan hari-hari tanpa menutup aurat.

Tapi Allah itu sungguh penyayang. Biarpun hamba-Nya berkali-kali ingkar, tetapi diberinya nikmat yang tidak pernah putus-putus. Namun, jika kita ditimpa musibah atas kelalaian sendiri, pandai pula kita berteleku memohon ampun pada ’tuan’ kita, berdoa supaya idak terus diputuskan nikmat. Kerana sayang-Nya terlalu luas, siapapun kita, sebesar manapun dosa kita, akhirnya diterima taubat dan pengampunan tanpa syarat. MasyaAllah.

...dan cinta-Nya juga tanpa syarat.

Jika manusia yang menjadi tuan, setiap arahan dan suruhan kepada hambanya, pasti akan memulangkan imbuhan kepada dirinya. Jika hambanya tidak menjalankan tugas, hidupnya akan tidak terurus. Rumah tidak terjaga. Ternakan tidak berhasil. Hasil tanaman tidak mampu diusahakan, dan macam-macam lagi kesannya. Namun, jika Allah sebagai ’Tuan’ manusia, buat atau tidak, patuh atau taat seseorang hamba-Nya itu, langsung tidak mengurangkan atau menambahkemuliaan dan darjat-Nya. Langsung tidak menjejaskan keagungannya. Lantas, untuk apa makna kepatuhan kita sebagai hamba Allah? Kerana itu, cinta-Nya yang sentiasa membuahkan rezeki dan bahagia adalah kurniaan tanpa syarat. Tiada sebab itu, tiada sebab ini. Semata-mata hanya kita seorang hamba.

Jika kita hitung nikmat Allah, nescaya tidak terhitung banyaknya. Bukan sahaja nikmat yang dirasai oleh jasad, tetapi yang terbesarnya ialah nikmat roh, akal, fikiran dan ilmu pengetahuan. Yang tertinggi sekali ialah nikmat iman dan Islam. Nikmat yang tidak boleh dibanding dengan segala nikmat yang lain. Semua perintah Allah SWT dan larangannya. Sekiranya disempurnakan dengan baik maka menjadi kurnia yang sangat besar.

Allah SWT tidak mendapat apa-apa faedah daripada amal yang baik yang dilakukan oleh manusia dan semua amal kejahatan yang dilakukan oleh manusia tidak memberi apa-apa mudharat kepada Allah SWT. Disebut di dalam hadith Qudsi yang bermaksud:

"Wahai manusia, sekiranya kamu menjadi jin yang awal dan yang akhir."

Manusia yang pertama ialah Nabi Adam AS dan manusia yang paling akhir sekali meninggal dunia dicampur sekali. Semua kamu mengerjakan amal yang baik disatukan di satu tempat.

Allah SWT telah memberi kepada kamu semua apa-apa yang kamu minta, nescaya tidak mengurangkan apa yang ada di sisi Allah SWT, laksana dicelup jarum yang halus ke dalam lautan yang luas.

Sekiranya semua kamu, wahai manusia dan jin yang awal dan yang akhir hidup mendurhakai dan menentang Allah SWT nescaya tidak mengurangkan sedikitpun kerajaan Allah SWT. Itulah kebesaran Allah SWT.

Wallahu’alam.

Dia sentiasa memberi.

Tidak terasakah kita pada cinta-Nya?

Kita Cuma hamba.

Siapapun kita. Doktor, Peguam, Perdana Menteri, Sultan, Raja. Hakikatnya kita semua hamba. Tiada seorang pun yang tidak terkecuali untuk menanggalkan gelaran yang terpatri sejak azali lagi. Jadi apa tugas kita? Hanya perlu patuh kepada perintahnya. Jika bersusah payah kita berusaha patuh kepada tuan manusia, manakan tidak kita berusaha untuk patuh pada perintah Tuan kepada seluruh manusia, serta Tuan langit dan bumi keseluruhannya?

Tanggalkan kebongkakkan...gugurkan alasan.

Jika kita melihat kepatuhan itu perlu melihat orang lain, kita silap. Sedangkan kepatuhan itu harus tertumpu pada niat. Kalau kerana manusia, jadilah kepatuhan kita hanya kerana manusia. Tutup aurat sebab malu kepada orang. Solat sebab takut diperli. Kalau itu, sampai bila-bila kita tak mampu merasa nikmatnya bertuhankan Allah.

Jika kita bongkak untuk sujud dan patuh sebab kita sudah miliki segalanya. Rumah, kereta, anak isteri, duit, perniagaan, jadi tak perlukah lagi kita sujud merendah diri dan mangakui segala yang ada cuba pinjaman? Sedangkan segala-galanya mampu hilang dalam sekelip mata. Jadi, mana milik kita yang kita bongkakkan? Semuanya kembali pada Dia...

...dan kita, cuma hamba.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: