Pada Siapa Kita Berharap?

by Monday, April 26, 2010 0 comments
Hari ini saya melapangkan waktu menemani ibu ke hospital. Sewaktu saya dan ibu menunggu nama dipanggil tiba-tiba kekecohan berlaku di kauter hadapan hospital. Kelihatan seorang pakcik sedang memarahi seorang jururawat. Butir bicaranya jelas kedengaran kerana kaunter tersebut tidak jauh dari ruang menunggu. Perlakuan pakcik itu menjadi tatapan umum. Orang ramai semua memandangnya. Setelah diperhatikan, rupanya dia marah kerana katanya namanya terlalu lambat dipanggil untk berjumpa doktor dan dia minta untuk dipercepatkan.

Dia ditenangkan oleh beberapa orang jururawat supaya bersabar dan jangan membuat bising. Namun, dia tidak hiraukan nasihat orang lain malah dia terus memarahi dan mengherdik sesiapa pun yang cuba menenangkannya.

'Mungkin dia terlalu sakit agaknya'. Bisik hati saya cuba bersangka baik pada pakcik itu. Namun apa yang membuatkan saya terkejut, sewaktu dia sedang marah, seseorang datang menegurnya menyuruh dia diam ntuk menghormati bacaan doa pagi yang selalunya diperdengarkan untuk di aminkan oleh seluruh warga hospital.

"Buat apa nak baca-baca doa lagi. Aku tengah sakit ni. Tak tahu ke?" Dia memarahi orang yang menegurnya. semua orang yang ada di situ terdiam.

Hati saya berbisik. Pada siapa pakcik itu bergantung harap? Pada doktor dan ubat yang sedang dia kejarkan itu atau pada Allah yang menyembuhkannya?

Kejadian pakcik dan amarahnya itu mungkin salah satu kejadian yang Allah pertontonkan. Benar-benar menjentik akal dan hati saya, menuntut saya merenung, bahawa di kala kita kegusaran berhadapan dengan musibah, pada siapa yang kita harapkan?

Musibah petanda kita tersesat.

Segala musibah dan ujian yang menimpa manusia, semuanya datang atas kehendak Allah untuk menguji siapa diantara kita yang sabar dan kekal beriman pada Allah. Mungkin waktu kita diuji akal dan perasaan kita tidak mampu berfikir pada siapa kita bergantung. Sehinggalah kita melepaskan segala beban dan perasaan menangung sakitnya diuji pada tempat yang salah. Memarah dan mengherdik orang sekeliling, melepaskan perasaan dengan mengurungkan diri melayan perasaan, melakukan perkara mungkar kononnya sebagai tanda protes dan ketidakpuasan hati terhadap beban ujian yang sedang di alami atau lebih parah lagi ada yang tanpa sedar atau sebaliknya menyalahkan takdir yang berlaku.

Bagi orang mukmin, ujian dan musibah adalah tarbiyah halus dari Allah yang menuntut kita duduk dan merenung sebentar, bahawa disebalik musibah ada hadiah, disebaik ujian ada ganjaran, dan disebalik kesakitan ada kebahagiaan. Namun, orang-orang yang tidak mampu melihat hakikat ini, akan bertindak mengikut perasaan tanpa dikawal akal dan iman. Seperti orang yang sesat di hutan. Andai diikut perasaan, kita terus berjalan sahaja tanpa arah tuju asalkan kita jumpa jalan pulang. Mengikut gerak kaki tanpa fikir betul atau tidak jalan yang kita lalui. Namun, orang yang tahu hakikat kenapa Allah biarkan kita sesat di hutan, kita akan bertindak merenung semula jalan yang seharusnya kita lalui. Menilai kembali punca-punca kesesatan, dan mengatur strategi untuk keluar dari keadaan itu dan menuju jalan pulang dengan cara yang sebetulnya. Menggunakan peluang ke dua untuk kembali ke pangkal jalan.

Begitu juga apabila sesat di atas jalan kehidupan. Lumrah manusia, pasti akan bertemu saat-saat kita tersilap langkah. Seandainya kita tidak berfikir panjang kita mudah mengikut perasaan dan tenggelam dalam kesesatan kerana kebiasaannya, jalan yang sesat jauh dari peraturan, tiada papan tanda syariat sebagai penunjuk haluan. Jalan yang sesat hanya menurut keinginan semata-mata. Namun, bagi orang yang melihat hakikat sebuah kehidupan yang jalannya bersimpang siur, pasti dia akan lebih berhati-hati menjalani kehidupan.Sebab itu dia perlukan syariat dan peraturan yang Allah SWT tetapkan dan sunnah Rasulullah SAW aturkan. Supaya dia tidak lagi tersesat jalan dalam kehidupan dan terus sampai kepada matlamatnya iaitu redha Allah. Kerana itulah, orang yang sedar ujian dan musibah adalah didikan halus yang penuh kasih sayang Allah pada hamba-Nya, akan lebih berhati-hati dan mengambil pengajaran atas apa yang telah berlaku. Ini adalah percaturan orang-orang yang bijak.

Pada siapa kita bergantung harap?

Siapa yang tidak pernah diuji, malah kekasih Allah SWT, Nabi SAW itupun lagi hebat ujiannya. Apatah lagi kita. Kalau hari ini kita diuji dengan sedikit kesakitan, kelaparan, kemiskinan, kegagalan, kesedihan, kehilangan, namun, disebalik semua itu ada ‘hadiah’ yang Allah sediakan. Tetapi dengan syarat hadapi dahulu ujian itu. Maha Benarlah firman Allah bahawa:

" Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya"~ Al-kahfi:7

Allah menguji untuk melihat siapa diantara kita terbaik perbuatannya. Atau lebih tepat lagi saat kita diuji, di mana kita meletak posisi kita. Pada siapa kita bergantung harap? Pada Pencipta kita atau orang-orang yang diciptakan-Nya?

Hakikatnya pada hari ini, kita banyak melihat bukti orang bergantung harap pada yang salah. Rakyat terlalu taksub dengan pemimpin sehingga merasakan hanya pemimpin yang boleh menyelamatkannya dia kesusahan hidup. Seorang pelajar yang bergantung harap pada pensyarahnya yang memungkinkan dia mendapat markah terbaik sehingga tidak lagi menjaga etika seorang pelajar. Seorang pesakit yang bergantung harap hanya pada ubat dan doktor, sehingga seringkali kecewa apabila ubat yang di makan tidak lagi menyembuhkannya. Atau seorang lelaki yang terlalu cintakan seorang wanita sehingga menganggap hanya pasangannya itulah yang mampu memberi kebahagiann sehingga lupa menjaga adab dan maruah.

Semuanya meletakkan harapan pada yang tidak kekal. Sampai suatu saat, sesuatu itu atau orang yang kita harapkan berubah keadaan atau tidak lagi mampu membahagiakan, barulah kita merasa kecewa. Padahal Allah sudah ingatkan kita, di dunia ini tiada yang kekal, melainkan Allah.

Kerana itulah, berharaplah pada Allah. Tidak salah berharap pada yang lain tetapi letaklah di tempat yang ke dua. Pasakkan keutamaan pengharapan kita kepada Allah, pemilik diri, hati, keadaan, dunia, akhirat, kebahagiaan, kesenangan dan apapun jua yang ada. Semuanya milik Allah dan seharusnya kita mengikat kemas pengharapan dan pergantungan dalam apapun jua keadaan hanya kepada Allah. Ketika berhadapan dengan masalah, kita pasti akan ditemukan dengan jalan penyelesaian yang paling diredhai oleh Allah kerana hanya orang yang mengerti hakikat ujian dan pada siapa perlu bergantung harap pasti akan keluar dari masalah dengan cara yang paling selamat.

Allah tahu.

Allah Maha tahu. Ya, diberinya ujian, musibah kerana dia tahu kemampuan kita. Saat diuji, Dia dimana kedudukan hati kita, adakah terus kekal pada Allah mahupun beralih kepada yang lain? Apapun yang ada difikiran kita sama ada kita zahirkan atau sembunyikan, Allah tahu segalanya.

"Katakanlah: jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya: Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu" ~Ali-Imran:29

Selalunya, kita mudah beralih pengharapan tanpa sedar walaupun kita tahu Allah tahu, tapi oleh kerana kita mungkin tidak merasakan Allah di hati, kita mudah meletakkan pengharapan kepada yang lain. Mungkin ada yang beranggapan pengharapan pada Allah itu pada doa, solat dan ibadah yang zahir. Namun hakikatnya pengharapan pada Allah adalah saat kita menghadapi apapun situasi sama ada saat diuji atapun tidak, dimana kita meletakkan Allah dalam hati. Adakah ditepi, dihujung atau sentiasa beralih mengikut situasi ? Solat, doa dan segala bentuk ibadah zahir adalah bukti perlakuan kita sebagai hamba. Hakikatnya kebergantungan pada Allah perlu pada setiap masa.

Ya, mudah berkata, tapi sukar membuktikan kata. Namun, berusahalah moga Allah sentiasa yang pertama, pasti ada ganjarannya. Semoga kita sama-sama meletakkan pengharapan yang utama kepada Yang Maha Esa…walau apapun situasi dan keadaannya. Bukti kita sebagai hamba. Moga tidak terus kecewa dalam rasa.

Wallahu'alam.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: