Tarbiyah itu bukan hanya pada modul...

by Saturday, December 11, 2010 0 comments
“Ukhti, kenapa tak pergi usrah semalam ya? Ukhti sakit?”

“Tak, semalam kan hujan lebat, ana tak ada payung..lagipun ukhti Zahra balik kampung, jadi tinggal ana seorang. Ana tak biasa keluar seorang diri”

“Kenapa ukhti tak cuba usahakan untuk pergi seorang diri sahaja”

“Takut la, ana tak biasa keluar dan naik bas bersendirian. Ala, lagipun tajuk yang kita nak bincang, dah selalu kita dengar. Lagi satu, kalau tiada ana, orang lain masih ada, kan? Ana pun dah habis hafal hadist yang ditugaskan minggu lalu. Bukan ana tak nak pergi, tapi ada halangan”

*****
Situasi di atas mungkin salah satu situasi yang pernah kita hadapi. Bagi mereka yang biasa menceburkan diri dalam bidang dan lapangan tarbiyah melalui halaqah usrah, pasti alasan-alasan sebegitu adalah suatu kebiasaan. Ketidakhadiaran ahli dalam halaqah mengumpulkan pelbagai sebab dan alasan. Bagi yang mengerti, alasan-alasan itu ibarat satu kekangan yang gagal dilepasi, namun bagi yang kurang mengerti, halangan itu sentiasa ada dan tidak ada kudrat kita sebagai seorang hamba yang serba kekurangan untuk melepasinya. Kenapa ada jurang pemikiran anggapan pada halangan sebegitu? Ketidakfahaman tentang hakikat tarbiyah adalah jawapannya.

Tarbiyah itu apa sebenarnya?

Selesaikan pengertian ini dahulu.

Tarbiyah dalam bahasa melayunya, didikan.

Kata pujangga lampau ada menyebut tarbiyah itu adalah didikan pada jiwa, makanan untuk hati dan pelajaran bagi pengalaman. Tarbiyah satu bentuk "pukulan" yang bertubi-tubi supaya meninggalkan bekas sehingga hati menjadi lurus dan terdidik kea rah matlamat hidup, dan disinonimkan sebagai makanan hati apabila diri sentiasa terdedah dengan anasir mazmumah, hati sentiasa perlukan makanan untuk hidup segar melawan anasir jahiliyyah, dan tarbiyahlah makanan hati. Juga sebagai pengajaran bagi pengalaman, apabila hidup ini tidak terlepas dari berhadapan dengan ujian, hanya tarbiyahlah yang mampu mentafsirkan ujian itu sebagai pengajaran hidup yang berharga.

Apa kaitannya dengan usrah?

Tarbiyah atau didikan banyak cabangnya, dan halaqah usrah adalah satu lapangan tarbiyah yang disusun secara sistematik. Perjanjian dan persetujuan antara ahli halaqah usrah untuk berjumpa dan bersama melalui fasa-fasa dalam program tarbiyah. Apabila menyebut tentang program tarbiyah, bukan suatu yang mudah. Hanya mereka yang inginkan kebaikan sahaja ada penolakan untuk melibatkan diri dalam siri perancangan tersebut. Kerana mereka faham, halaqah usrah adalah satu perancangan yang memerlukan satu komitmen yang tinggi. Kerana mereka ada pencerahan tentang halatuju dan matlamat berusrah. Bukan sekadar perjumpaan biasa. Tapi ibarat satu ikatan tali yang disimpul pada matlamat yang satu iaitu didikan atau tarbiyah diri. Mereka yang faham tentang halatuju perancangan dan siri tarbiyah ini akan memberi sepenuh komitmen dan bersedia untuk ‘bersama’ membaiki diri.

Namun, kenapa ada yang sering beralasan?

Ya, kita hanya mampu merancang, namun di sebalik perancangan akan ada halangan. Begitu jugak dalam siri tarbiyah melalui medium usrah. Merancang mudah, namun merealisasikan perancangan itu bukan mudah. Setiap orang pasti akan ada perancangan hidup sendiri sehari-harian. Begitu juga bagi mereka yang merancang sebaik mungkin dalam pelaksanaan usrah.

Komitmen diri sebagai pelajar, sebagai pekerja, sebagai suri rumah, walhal sebagai penganggur juga ada perancangan tersendiri. masing-masing tidak terlepas dari bertembung dengan komitmen lain. Jadual seharian bertembung dengan waktu usrah yang dijanjikan bersama ahli lain. Oleh itu, di mana sebenarnya keutamaan meletakkan diri dalam halaqah usrah yang kita dahulunya bersedia untuk memberi komitmen dengan membuat susunan jadual usrah sehingga kadangkala kita sendiri yang terpaksa tidak menghadiri program yang tertulis dalam jadual perancanagn sendiri akibat kekangan yang ada. Kerana apa ya?

Pertama, ada yang beralasan kerana memang tidak dapat dielakkan, kerana bertembung dengan sesuatu yang juga penting. Ini memang suatu yang mengizinkan. Contohnya apabila halaqah usrah bertembung dengan ziarah kematian. Menziarahi kematian perlu didahulukan. Lihat kepada keutamaan.

Jelas !

Namun, yang tidak jelas, apabila ketidakhadiran ke halaqah usrah dengan alasan yang tidak jelas prioritinya di mana. Adakah mereka yang sebegini juga tidak jelas tentang matlamat berusrah?

Mungkin.

Ada sesetengah daripada kita salah faham pengertian tentang hakikat tarbiyah yang sebenarnya. Ada yang menganggap tarbiyah melalui halaqah usrah itu hanya satu perjumpaan yang saling berkongsi ilmu, tadarus, perbentangan dalam halaqah, memeriksa nilai ibadah sepanjang minggu antara ahli, pencerahan hadist, penerangan nilai-nilai akhlak, atau hanya sekadar menghabiskan silibus dan modul usrah? Padahal tarbiyah itu bukan sekadar ini.

Tarbiyah itu bukan hanya pada modul.

Ya, disinilah yang harus kita faham. Tanam di setiap lubuk fikiran, bahawa tarbiyah itu bukan sekadar menghabiskan silibus dalam modul usrah. Tapi satu penolakkan diri kearah merealisasikan kekuatan untuk mencapai tahap didikan yang berkesan. Mari kita lihat secara mudahnya.

Berbalik kepada contoh alasan diatas. Ukhti itu tidak mampu menghadiri usrah kerana hujan, tiada teman, dan tidak biasa keluar bersendirian dan menaiki bas bersendirian.

Tapi, kalau usrah itu sekadar memenuhi modul, dia sudah penuhi kerana dia sudah melakukan apa yang ditugaskan untuknya.

Namun, usrah itu bukan sekadar itu, tapi jauh daripada yang kita sangkakan. Lebih jauh daripada apa yang kita nampak. Hakikatnya tarbiyah itu bermula sejak dari kita berniat untuk berusrah lagi. Kalau kita perasan, apabila kita merancang untuk melaksanakan usrah, pasti terdetik dalam fikiran tentang halangan-halangan yang akan ada. Nah, inilah perca tarbiyahnya bila kita mampu melawan halangan yang hanya wujud dalam kepala dengan menangkis segala prasangka yang menghalang. Ini baru permulaan.

Ada di antara kita, untuk menghadiri usrah perlu perjalanan yang memakan masa yang jauh, perlu menunggu bas berjam-jam, perlu berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, perlu keluarkan sedikit peruntukan kewangan untuk menanggung kos perjalanan ke tempat usrah, perlu melalui bukit bukau.

Bagi seorang pelajar, untuk dia memenuhi jadual usrah, perlu mengorbankan masa belajarnya, perlu melupakan sebentar rehat dihujung minggu, perlu mengatur jadual sebaiknya supaya tidak bertembung dengan program kampus.

Manakala bagi yang sudah bekerja, terpaksa juga melapangkan cuti hujung minggu untuk usrah, perlu tinggal suami atau isteri. Perlu melupakan sebentar masa dengan anak-anak atau yang mempunyai anak kecil mengambil keputusan membawa bersamanya sehingga sanggup melayan karenah dan rengetak anak-anak kecil semata-mata tidak mahu ketinggalan dalam halaqah usrah.

Nah !

Jom kita fikirkan bersama-sama. Seandainya kita tidak bersedia melalui sebahagian halangan-halangan tersebut, mampukah kita mendapat buah tarbiyah? Walhal apabila Berjaya melalui halangan itulah sebenarnya tarbiyah.

Kerana, tarbiyah dekat dengan pengorbanan.

Mereka yang tidak bersedia untuk bekorban, tidak akan dapat mengenggam hasil tarbiyah itu. Kerana, tarbiah menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Untuk dapatkan ilmu dan formula pembaikan diri dalam halaqah usrah perlu melepasi halangan-halangan itu. Perlu bersedia untuk bekorban masa, tenaga, duit, perasaan, perlu keluar daripada zon yang selesa, dan macam-macam lagi bentuk pengorbanan.

Kerana nilai tarbiyah itu kita akan perolehi apabila kita berjaya melepasi halangan itu. Bukannya tarbiyah dinilai dengan kelancaran program usrah sehingga tidak langsung meninggalkan rasa dan ‘bekas’ pada diri. Sedang pengertian tarbiyah itu adalah didikan yang bertubi-tubi untuk melatih diri melepasi halangan dalam kehidupan.

Bagaimana pula mereka yang tidak mampu melepasi dengan member pelbagai alas an yang bersifat ‘lemah’?

Antara tidak boleh VS tidak mahu.

Perlu kita faham di sini, setiap orang ada kekangan yang lumrahnya wujud ketika kita berhajat untuk mencari kebaikan. Halangan tersebut mampu di atasi dengan baik seandainya kita punyai kehendak yang kuat. Kadangkala kita beralasan bukan kerana kita ‘tidak boleh’ tetapi kerana kita ‘tidak mahu’ untuk berusaha dengan lebih.

Hakikatnya, orang yang tahu kepentingan tarbiyah, meletakkan keutamaannya melebii daripada yang lain. Kerana itulah wujudnya golongan yang sanggup menghadapi pahit getir, susah senang untuk mendapatkan secebis pembaikkan diri. Sanggup melepasi pelbagai halangan dan cabaran. Bukan kerana dia tiada komitmen pada yang lain, tetapi kehendaknya kea rah matlamat tarbiyah telah menolak dirinya untuk melepasi segala halangan sehingga dia tidak sempat untuk beralasan.

Mungkin dengan secara lebih jelasnya, kita lihat kisah sirah, para sahabat Nabi saw, Bilal Bin Rabah yang sanggup mengorbankan nyawanya semata-mata untuk menghadiri ‘usrah’ bersama Nabi. Kerana apa, kerana matlamat hidupnya telah menolak dia untuk bertindak berani menghadapi cabaran kerana dia sedar ada nilai tarbiyahnya di situ. Begitu juga kisah-kisah para sahabat dan tabi’in yang lain. Kisah Mus’ab Bin Umair , Salahuddin al-Ayyubi dan ramai lagi yang telah menghadapi episod yang getir dalam berhadapan dengan cabaran dan ujian yang akhirnya melatih jiwa-jiwa mereka menjadi seseorang yang tidak gentar pada anasir jahiliyyah yang mengancam diri. Bukankah pembaikan diri seperti merekalah yang kita inginkan?

Solusinya…

Clearkan matlamat.

Bukalah mata dan fikiran serta hati untuk melihat jalan manakan yang sedang kita tujui. Kalau masih kabur, untuk apa kita berada dalam lapangan tarbiyah, clearkan dahulu tujuannya. Dari situ, barulah kita mampu melihat di mana prioriti yang seharuskan kita pilih. Seandainya halangan yang ada lebih penting, utamakan yang penting. Tiada lain yang kita harapkan apabila berada atas jalan ini melainkan didikan pada diri supaya sentiasa menjadi lebih baik, agar kita mampu mengajak orang lain, dan akhirnya mewujudkan komuniti yang sama-sama inginkan kebaikan.

Bertanggungjawablah atas pilihan kita….

Tiada siapa memaksa kita untuk berada atas jalan tarbiyah ini. Tapi kerana kesedaran, kita berada dalam kelompok mereka yang inginkan kebaikan. Seandainya kita pilih untuk berada dalam kondisi tarbiyah untuk mencari pembaikan diri, bersedialah untuk berhadapan dengan cabarannya. Anggaplah sekiranya kita gagal melepasi halanagn itu, kita sebenarnya masih belum merelakan diri untuk melepasi siri-siri tarbiyah.

Bekorbanlah.

Tiada jalan mudah untuk melepasi halangan yang ada, melainkan pengorbanan yang ahir dari kehendak sendiri. Bukan sekadar hadirkan diri kerana tuntutan orang lain, tetapi kerana kita jelas tentang halatuju hidup kita Kerana itu, bersedialah untuk bekorban.

Sebagai penutupnya, saya sandarkan pengertian tarbiyah itu pada satu pengorbanan yang Allah ingatkan kita dalam Qalam Sucinya:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah aku tunjukkan satu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah,dan Rasulnya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”- As-Saff;10-11.

Wallahua’lam.

.::aiNi::.

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments: